Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
SHAH ALAM- Kerajaan Selangor tidak akan membiarkan rakyatnya hilang pekerjaan susulan pendigitalan dan automasi beberapa sektor pekerjaan.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, sebaliknya kerajaan negeri akan menawarkan latihan bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja.
“Kita beruntung kerana sejak 2016 sudah lancarkan konsep negeri pintar dan menjelang 2025, kita tetapkan gagasan bawa Selangor ke arah digitalisasi.
“Kita kena lihat kesan kepada pekerja kerana banyak kilang pengeluaran masih berasaskan tenaga kerja sebab itu pakej ketiga (rangsangan ekonomi) kita umumkan (akan menawarkan ) latihan kemahiran (kepada rakyat Selangor) , ” katanya pada ucaptama Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Perdagangan Setia City hari ini.
Selain itu, Amirudin turut menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk memulihkan ekonomi negeri seperti sebelum pasca Covid-19 bagi memastikan Selangor kekal sebagai peneraju ekonomi Malaysia.
Sementara itu, menurut salah seorang panelis program dialog itu yang merupakan Ahli Bersekutu Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCCC), Prof. Madya Dr. Madeline Berma berkata, kerajaan Selangor perlu mula mencari kaedah baharu bagi meningkatkan pendapatan negeri.
Tegas beliau, ini penting bagi memastikan Selangor tidak terlalu bergantung harap terhadap sumber bumi sebagai cara mereka menjana pendapatan kerajaan.
“Sekiranya sumber bumi ini habis, apa yang kita nak tinggalkan pada cucu cicit kita.
“Kita harus mengembeleng tenaga dan idea dari sekarang untuk mencari kaedah baru untuk meningkatkan pendapatan Selangor, ” ujarnya. -K!ONLINE