fbpx

Keberanian anggota MPV jadi contoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAINAL ABIDIN

Oleh ASLIZA MUSA

IPOH – Tindakan berani anggota kereta peronda polis (MPV) melaporkan perlakuan salah oleh seorang pegawai kanan polis meskipun menerima provokasi dan ugutan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya, Selangor semalam wajar dicontohi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, keberanian anggota terbabit menunjukkan ketegasan pihak polis dalam melaksanakan undang-undang tanpa mengira status dan kedudukan seseorang.

Malah katanya, PDRM sama sekali tidak berkompromi dengan mana-mana individu yang menghalang anggotanya ketika menjalankan tugas mencegah jenayah.

“Saya mahu beri surat penghargaan kepada anggota saya kerana mereka tegas, cepat sampai di lokasi kejadian dan melaporkan apa yang berlaku melibatkan pegawai tersebut.

“Itu adalah ketegasan yang saya mahu daripada anggota MPV. Tindakan diambil tanpa mengambil kira orang kenamaan, pegawai tinggi jabatan dan tambahan lagi kejadian itu dilakukan pegawai polis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak antara Datuk Razarudin Husain dan Datuk Goh Boon Keng di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di sini hari ini.

Dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya semalam, seorang pegawai kanan polis berusia 39 tahun yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di Kontinjen Selangor ditahan kerana membuat provokasi dengan menghina dan mengugut anggota lain pasukan keselamatan itu.

Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) (Pindaan) 2020.

Menurut Zainal Abidin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador gembira apabila ada anggota berani tampil membuat laporan selaras dengan ketegasan yang dipegang beliau selaku orang nombor satu dalam pasukan keselamatan itu.

Katanya, sokongan padu diberikan pucuk pimpinan tertinggi PDRM itu akan menaikkan semangat anggota-anggota yang bertugas di lapangan.

“Saya ingatkan pegawai dan anggota untuk pegang kepada amanat yang disampaikan oleh Tan Sri Abdul Hamid Bador. Jangan takut dan gusar asalkan buat kerja dengan betul.

“Ada yang pakai nama ketua polis atau ketua jabatan siasatan jenayah pun jangan peduli. Buat perkara betul dan selebihnya biar siasatan dijalankan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI