BRUSSELS, Belgium – Kesatuan Eropah (EU) menyuarakan rasa kesal dan kebimbangan serius hari ini berhubung komitmen Belgrade yang mahu memindahkan kedutaannya di Israel ke Baitulmuqaddis sekali gus menimbulkan kesangsian berhubung prospek penyambungan semula rundingan Serbia-Kosovo.
Presiden Serbia, Aleksandar Vucic dan Perdana Menteri Kosovo, Abdullah Hoti dijadual bertemu di Brussels untuk pusingan kedua rundingan empat mata tajaan EU bagi meleraikan pertelingkahan selama dua dekad selepas kedua-dua pihak terbabit dalam peperangan.
Rundingan itu menyusul selepas sidang kemuncak di White House di mana Vucic dan Hoti menandatangani persetujuan menambah baik hubungan ekonomi dan dalam kes Serbia, Belgrade menyuarakan komitmennya untuk memindahkan kedutaan Serbia dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.
EU bagaimanapun masih komited kepada ‘penyelesaian dua negara’ di mana Baitulmuqaddis akan menjadi ibu kota kedua-dua negara Palestin dan Israel di masa hadapan.
Sehubungan itu, Brussels meminta Serbia yang merupakan calon negara anggota EU, supaya melaksanakan dasar luar yang selari dengan blok tersebut.
“Dalam konteks ini, sebarang langkah diplomatik yang mencabar pendirian EU mengenai Baitulmuqaddis adalah perkara yang boleh menimbulkan kebimbangan serius dan amat dikesali,” kata jurucakap hal ehwal luar EU, Peter Stano kepada pemberita di Brussels.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memecah tradisi diplomatik apabila mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel pada Disember 2017 dan memindahkan kedutaannya ke kota tersebut. – AFP