REYKJAVIK, Iceland – Raheem Sterling menjadi wira pasukan England selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika menang 1-0 ke atas Iceland pada aksi Liga Negara-Negara Eropah di Stadium Laugardalsvollur awal pagi semalam.
Bagaimanapun, ia belum memuaskan hati pengurus England, Gareth Southgate apabila menyaksikan kesilapan yang dilakukan dua pemain pertahanan, Kyle Walker dan Joe Gomez.
Walker diarah keluar padang pada minit ke-70 selepas menerima dua layangan kad kuning sementara Gomez menghadiahkan sepakan penalti kepada Iceland pada penghujung perlawanan.
“Layangan kad merah itu memang mengubah rentak permainan kami kerana England bermain cukup baik pada separuh masa kedua. Satu tindakan yang kurang bijak untuk dilakukan.
“Kemudian, kami juga tidak boleh benarkan pemain lawan masuk dengan mudah ke dalam kotak penalti. Pertahanan lakukan kesilapan apabila memberikan sepakan penalti kepada lawan,” tegas Southgate.
Justeru, beliau akan melakukan penilaian menyeluruh terhadap semua pemain The Three Lions sebelum membuat keputusan berhubung kesebelasan utama yang bakal menentang Denmark minggu depan.
“Saya akan nilai semua pemain bukan sahaja dari segi kecergasan tetapi merangkumi semua aspek termasuk prestasi dalam setiap sesi latihan,” ujarnya. – AGENSI