fbpx

Dua dicari polis kes tipu jual tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA individu dikehendaki polis bagi membantu menyelesaikan dua kes membabitkan kes penjualan dan pindah milik tanah masing-masing berjumlah RM24 juta dan RM3 juta.

NOR AINNA HAMZAH

SEREMBAN- Dua individu dikehendaki polis bagi membantu menyelesaikan dua kes membabitkan kes penjualan dan pindah milik tanah masing-masing berjumlah RM24 juta dan RM3 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd Ghani berkata, bagi kes pertama membabitkan tanah di Bandar Seremban 3 seluas 7.024 hektar ia telah dipindah milik kepada individu lain iaitu individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan iaitu Tay Hock Seng, 54, yang beralamat di Sungai Bakap, Kedah.

Menurutnya, pada 16 Julai lalu, penolong pengurus besar sebuah syarikat hartanah di Kuala Lumpur telah membuat laporan di Balai Polis Jalan Campbell susulan hasil semakan pada 14 Jun mendapati tanah milik syarikat di Bandar Seremban 3 telah dipindah milik kepada individu tidak dikenali.

“Penolong pengurus besar syarikat hartanah berusia 51 tahun berkenaan telah membuat semakan di Pejabat Tanah dan Galian Seremban dan mendapati tanah tersebut telah dipindah milik melalui Borang 14 A yang dibuat pada 14 Jan lalu dengan bayaran RM1.8 juta.

“Semakan tanda tangan dua orang Pengarah Syarikat yang terdapat di dalam borang tersebut juga disyaki telah dipalsukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi.

Aibee berkata, penolong pengurus besar syarikat hartanah berkenaan juga telah membuat semakan terhadap firma guaman yang menguruskan penjualan serta pindah nama berkenaan, namun didapati pejabat peguam berkenaan tidak wujud.

“Susulan itu syarikat hartanah berkenaan telah mengalami kerugian sekitar RM 24 juta mengikut nilai semasa tanah.

Manakala menurutnya, bagi kes kedua pula individu bernama Lee Chee Boon, 41, beralamat di Pulau Pinang dikesan polis membabitkan kes penjualan dan pindah milik dua bidang tanah milik sebuah syarikat swasta lain di Mukim Linggi Port Dickson.

“Pengarah syarikat berusia 50 tahun telah membuat laporan di Balai Polis Port Dickson  2 Jun lalu apabila mengetahui dua bidang tanah syarikat berkeluasan kira-kira lapan hektar telah dijual oleh saspek yang merupakan bekas pengarah syarikat kepada satu individu yg tidak dikenali.

“Semakan telah dibuat oleh pekerja syarikat berkenaan di Pejabat Tanah dan Galian Seremban dan mendapati tanah telah dijual dan dipindah milik melalui Borang 14 A bertarikh 22 Disember 2016,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, kedua-dua suspek telah pun meletakkan jawatan pada 12 Jan 2016 dan tidak mempunyai kuasa mewakili syarikat untuk menjual tanah tersebut.

“Susulan kes ini, mangsa telah mengalami kerugian RM 3 juta akibat daripada penjualan tanah tersebut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, individu berkenaan diminta tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Bahkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai dua lelaki berkenaan boleh menyalurkan maklumat kepada ASP Rosmaliah Khalit di talian 013-9443968 atau 06-7682222. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI