fbpx

Derita dua tahun ‘makan’ debu pasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAMIAN menunjukkan kesan pencemaran debu pasir yang menghantui lebih 500 penduduk di Taman Bandar Baru Sungai Udang, Melaka.

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

MELAKA – Seramai lebih 500 penduduk di Taman Bandar Baru Sungai Udang, di sini diancam pencemaran debu pasir sejak dua tahun lalu susulan projek pembinaan sekolah berasrama penuh bersebelahan taman ber­kenaan.

Menurut mereka, projek pembinaan sekolah yang turut dilengkapi asrama itu bermula pada hujung 2018 dengan kerja-kerja menambak kawasan tanaman kelapa sawit itu.

Dakwa mereka, sejak itu, kehidupan seharian penduduk se­ring terganggu dengan ancaman debu pasir merah dan ia berterusan sehinggalah ke hari ini.

Wakil penduduk Jamian Abu Hassan, 49, berkata sebelum ini sudah beberapa kali penduduk taman membawa isu berkenaan untuk perhatian pihak berkaitan sejak awal tahun lalu.

“Bayangkan betapa sengsaranya hidup kami yang saban masa ‘dihidangkan’ dengan debu pasir kesan pembinaan projek ini yang seolah-olah tidak peka dengan masalah penduduk.

“Masalah semakin buruk ketika musim panas menyebabkan kami langsung tidak boleh duduk santai di halaman rumah malah baju pun terpaksa dihantar ke dobi kerana pakaian akan kotor jika dijemur di luar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

 

DEBU pasir yang mengotorkan kawasan perumahan penduduk kesan projek pembinaan sekolah berasrama.

 

Seorang lagi penduduk, Rafa’i Wahab, 41, berkata, selain masalah debu, penduduk turut berdepan masalah longkang tersumbat dengan mendapan tanah merah yang mengalir memasuki sistem perparitan ke jalan utama memasuki perumahan itu.

“Zink pengadang yang memisahkan projek dan jalan utama juga telah beberapa kali runtuh akibat di bawa arus ketika hujan sehingga banjir tanah merah melimpahi jalan berkenaan.

“Mendapan tanah merah lama-kelamaan menyebabkan paras longkang semakin cetek sekaligus meningkatkan risiko berlakunya banjir kilat di laluan utama itu,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Mohd Fadhil Hassan memaklumkan, pihaknya telah mengeluarkan notis terhadap jurutera projek untuk memberhentikan kerja-kerja pembinaan pada 4 September lalu.

“Notis pemberitahuan kesalahan di bawah Seksyen 70A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) itu mendapati enam tindakan perlu diambil dalam tempoh 14 hari sebelum boleh meneruskan projek.

“Sekiranya gagal, MPAG boleh kenakan kompaun RM25,000 atau tindakan mahkamah jika sabit kesalahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI