MENEPIS dakwaan segelintir pihak yang menganggap lagu baharunya sebagai luahan isi hati terhadap bekas isterinya, Fendy yang juga merupakan pemain drum kumpulan Caliph Buskers menganggap semua itu hanyalah telahan netizen semata-mata.
Sejak melancarkan lagu baharu berjudul Mengharapkan Mu pada 14 Ogos yang lalu, ada yang menganggap lagu tersebut merupakan penyesalan Fendy terhadap perceraian dengan bekas isterinya seperti yang terdedah awal tahun ini.
“Saya tahu ada netizen mengaitkan lagu tersebut dengan bekas isteri. Ada yang kata saya kembali mengharapkan cintanya semula dan macam-macam hal lain. Tapi semua itu hanyalah persepsi mereka semata-mata.
“Janganlah mengaitkan apa-apa dengan bekas isteri.
“Dia pun sudah ada kehidupan tersendiri dan mungkin juga sudah bertemu dengan orang lain. Tak manis untuk terus mengaitkan kami lagi.
“Mereka boleh sahaja mengatakan apa sahaja tetapi yang tahu kebenarannya tetap saya juga.
“Lagu ini tidak ada kaitan sama sekali dengan bekas isteri. Ini adalah luahan hati saya terhadap seseorang,” kata Fendy.
Untuk rekod, rumah tangga yang dibina bersama pemain perkusi Caliph Buskers, Nur Nadira Rubiana, 29, berakhir pada tahun 2017. Namun, perceraian mereka hanya didedahkan awal tahun ini.
Sepanjang perkahwinan, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan Nur Azalea Zafirah, 5 tahun.
Bagi Fendy, lagu tersebut merupakan luahan isi hatinya kepada seorang yang baru dikenalinya pada tahun lalu. Namun, kemanisan bercinta tidak kekal lama dan akhirnya hubungan tersebut berakhir begitu sahaja.
Luahan rasa
“Kalau boleh diputarkan masa, saya berharap supaya kami tidak saling kenal mengenal. Untuk apa bertemu kalau akhirnya berpisah? Saya anggap pertemuan kami pada waktu yang salah.
“Pada awalnya saya gembira kerana ada wanita celik yang mahukan lelaki buta seperti saya.
“Tapi apa kan daya, tiada jodoh antara kami. Kerana patah hati itu jugalah yang membuatkan saya menghasilkan lagu ini. Ini luahan perasaan yang tak kesampaian,” kata Fendy lagi.
Dalam pada itu, Fendy menafikan dakwaan yang mengatakan Caliph Buskers bermasalah sehingga membuatkan dia menghasilkan lagu solo. Jelasnya, mereka masih bersama-sama, namun boleh bergerak secara solo demi kelangsungan hidup.
Dia juga menegaskan hubungannya dengan bekas isteri baik-baik sahaja dan mereka masih boleh bermain muzik bersama tanpa sebarang dendam di hati.
“Kami masih boleh pergi bekerja dan minum bersama. Tak ada isu pun yang harus dibangkitkan memandangkan masing-masing dah move on. Cuma untuk netizen di luar sana, ada pesanan yang saya nak sampaikan.
“Kalau melibatkan bab bercerai ni, tak kisahlah celik atau tak nampak, tetap akan melaluinya. Sesiapa sahaja bergelar manusia mungkin akan melaluinya,” kata Fendy optimis.