fbpx

Bekas Pengarah Kemas didakwa luluskan kertas kerja palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANUAR (tengah) didakwa didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas satu pertuduhan meluluskan borang permohonan kertas kerja palsu berjumlah RM15,450 pada tahun lalu

KOTA BHARU – Bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kelantan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan meluluskan borang permohonan kertas kerja palsu berjumlah RM15,450 pada tahun lalu.

Tertuduh, Anuar Mat Zin, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zaman Mohd. Noor.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai Pengarah Kemas Negeri Kelantan telah meluluskan borang permohonan dan justifikasi yang mengandungi butiran palsu.

Tertuduh didakwa memalsukan kertas kerja Bengkel Penyelarasan Desa Harapan Kemas Kelantan 2019 berjumlah RM15,450 yang akan dilaksanakan selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Julai 2019 di sebuah hotel di Gua Musang.

Anuar didakwa dengan niat memperdayakan Ketua Pengarah Kemas sedangkan bengkel tersebut dijalankan selama sehari iaitu pada 25 Julai.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Pengarah Kemas, Wisma Persekutuan Kota Bharu di sini pada bulan Julai tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili Shahidah Muslimah Roslan.

Nor Hamizah mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 selain pasportnya ditahan dan perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Bagaimanapun, Shahidah Muslimah dalam rayuan bagi pihak anak guamnya memohon ikat jamin sebanyak RM3,000.

“Tertuduh mempunyai dua orang anak berusia 19 dan 17 tahun yang masih belajar. Selain itu, anak guam saya merupakan anak sulung daripada sembilan beradik dan perlu menjaga ibunya berusia 78 tahun yang sudah uzur.

“Jumlah ikat jamin sebanyak RM10,000 agak tinggi kerana tertuduh berdepan berkemungkinan digantung kerja dan akan hilang sumber pendapatan sepanjang tempoh bicara,” katanya.

Zaman memerintahkan jumlah ikat jamin sebanyak RM 7,000 selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat.

Mahkamah menetapkan 7 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jumlah ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI