fbpx

Banduan Penjara Kelantan ternak kelulut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAT Yaacob (kanan) bersama jemputan menghisap madu kelulut ketika melawat pameran ternakan kelulut di Stadium Mini Penjara Pengkalan Chepa hari ini.

Oleh ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Jabatan Penjara Kelantan mengambil insiatif dengan menyediakan latihan penternakan kelulut kepada seramai 80 banduan yang mempunyai baki tahanan selama dua tahun.

Setakat hari ini, Penjara Kelantan yang bertempat di Pusat Reintergrasi Penghuni (PRP) Kem Desa Pahlawan, Bukit Cina dekat sini merupakan pengeluar madu kelulut yang pertama di seluruh negara melibatkan banduan yang dilatih khas sepanjang mereka dalam tahanan.

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, pihaknya mendapat kerjasama dari Institut Kemajuan Dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (Mardi) Kelantan untuk memberi tunjuk ajar cara-cara menternak kelulut selain memasarkan hasil tersebut.

“Sekarang kita mempunyai 132 sarang kelulut dengan pengeluaran sebanyak 10 kilogram sehari.

“Selain memperoleh pendapatan kepada penjara, banduan juga boleh mendapat kemahiran selepas mereka dibebaskan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-230 di Stadium Mini Penjara Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud dan Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Kelantan, Kepten Maritim Muhammad Nur Stam Asmawie Yaacob.

Pada majlis sama, Mat turut menyempurnakan pemakaian pangkat, penyampaian pingat dan surat penghargaan kepada anggotanya yang cemerlang dalam menjalankan tugas.

Selain itu, pihak penjara juga menyampaikan surat penghargaan kepada orang awam yang membantu untuk memulihkan banduan.

Mengulas lanjut mengenai penternakan kelulut di penjara, Mat berkata, madu yang dihasilkan sejak empat tahun lalu sudah di pasarkan di galeri jualan Penjara di seluruh negara.

Katanya, selain mengusahakan ternakan kelulut, seramai 200 banduan di PRP didedahkan dengan pelbagai kemahiran seperti penghasilan buatan batik, pastri dan songket.

“Dengan adanya kemahiran, mereka boleh menjana pendapatan sendiri apabila bebas nanti.

“Justeru, mereka juga tidak akan melakukan aktiviti yang salah lagi, ” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI