KUALA LUMPUR- Sebuah kilang penyelenggaraan jentera yang disyaki mencemari Sungai Gong di Rawang dikesan beroperasi tanpa lesen atau tanpa kebenaran sejak enam tahun lalu.
Pengarah Jabatan Korporat, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohd. Zin Masoad berkata, pengurusan kilang itu juga tidak pernah membuat sebarang permohonan lesen daripada pihaknya sejak tahun 2014.
“Sepanjang beroperasi selama enam tahun, MPS juga sudah dua kali menyarankan pengurusan kilang itu untuk membuat lesen bagi menjalankan pernigaan terbabit.
“MPS turut menyerahkan notis kepada kilang itu itu dibawah Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 ekoran kesalahan membina bangunan tanpa kebenaran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.
Katanya, pihak syarikat diberi tempoh selama tiga hari untuk mengemukakan dokumen berkaitan kepada MPS sebelum tindaka roboh dilaksanakan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kira-kira lima juta penduduk sekitar Lembah Klang terjejas selepas terputus bekalan air sejak Jumaat lalu. – K! ONLINE