Oleh ROSLIZA MOHAMED
KOTA BHARU – Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) sentiasa mengekalkan peranan dalam menyampai dakwah kepada pelbagai peringkat golongan termasuk yang bermasalah bagi memberi manfaat kepada mereka.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata, golongan seperti banduan adalah wajar diberi ilmu keagamaan dan motivasi.
“Ini kerana mereka adalah sebahagian yang perlu diberi sedikit ilmu berkaitan, supaya tidak terus lupa akan asal usulnya.
“Aktiviti keagamaan ini juga demi kebaikan bersama supaya mereka dapat melakukan perubahan ke arah yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Yadim Bersamamu: Masih Ada Yang Sayang di Penjara Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Dalam majlis itu, seramai 100 banduan pelbagai peringkat menyertai program itu yang turut diselit ceramah agama dan bacaan al-Quran daripada banduan.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, program itu merupakan usaha kreativiti Yadim yang juga antara lain untuk menyantuni golongan tersebut kerana mereka adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang perlu dibantu mengikut kesesuaian tanpa meminggirkannya.
“Kita berharap golongan banduan dapat memberikan yang terbaik termasuk selepas keluar penjara nanti,” katanya. – K! ONLINE