KOTA BHARU – Pembukaan sebuah stesen minyak BHPetrol yang diusahakan oleh Akademi Yayasan Islam Kelantan (YIK) Sdn. Bhd. di Bandar Baru Tunjung di sini berupaya membantu menjana pendapatan sampingan kepada kerajaan negeri.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, stesen minyak yang dimiliki oleh anak syarikat YIK itu dilihat mampu mengurangkan bebanan kewangan untuk kerajaan mengurus tadbir negeri.
“Stesen minyak ini tidak besar (keuntungan), namun ia sebagai daripada usaha kerajaan negeri. Sekiranya untuk menampung keseluruhan operasi (kerajaan negeri), stesen minyak ini tidak mampu kerana keuntungan tidak besar.
“Perniagaan stesen minyak ini umpama kedai runcit, namun sekurang-kurangnya kita ada pendapatan sampingan. Sekiranya banyak lagi stesen minyak yang kita buka, lebih banyak pendapatan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Stesen Minyak BHPetrol Bandar Baru Tunjung di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Bousted Petroleum Marketing Sdn. Bhd., Leftenan Jeneral (B) Datuk Khairuddin Mat Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan.
Pembukaan BHPetrol di Bandar Baru Tunjung di sini merupakan rangkaian stesen minyak itu yang ke-16 di Kelantan dengan kedudukan strategik di Lebuh Raya Pasir Mas – Salor.
Mengulas lanjut mengenai Akademi YIK, menurut Mohd. Amar, kerajaan negeri memperuntukkan bajet kira-kira RM9.5 juta untuk pembayaran seramai 2,619 orang guru dan kakitangan sekolah menengah agama sebulan manakala pembangunan sebanyak RM4 juta.
“YIK ada memberi tanah kepada kerajaan negeri untuk mengusanakan ladang, namun ia tidak mencapai hasil seperti yang dijangka ekiran beberapa isu teknikal.
“Jadi, kita buka stesen minyak ini sebagai langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan negeri,” katanya. – K! ONLINE