KUALA LUMPUR – Rentetan daripada video menghina rambut Orang Asli, penyanyi dan usahawan, Siti Sarah memohon maaf atas ketelanjuran kata-katanya tempoh hari.
Siti Sarah atau nama sebenarnya Siti Sarah Raissuddin, 35, memberitahu, dia tidak pernah terlintas untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak khususnya masyarakat Orang Asli.
Katanya, sebagai manusia, semua pihak tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
“Atas insiden yang berlaku ini juga, saya ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia terutamanya kepada masyarakat Orang Asli.
“Saya amat berharap permohonan maaf saya ini diterima kerana perkara itu bukanlah sesuatu yang disengajakan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah penyanyi lagu Kesetiaan itu, dia juga sudah menerima permohonan maaf daripada pengarah syarikat House of Ridz Okumura Sdn. Bhd., Ridzo Okumura yang memuat naik video perbualan tersebut.
“Permohonan maaf itu ekoran dia memuat naik video perbualan kami tanpa mendapat izin saya terlebih dahulu sehingga menjadi tular.
“Insiden tersebut sedikit sebanyak telah menjejaskan reputasi saya sebagai penyanyi dan usahawan,” ujarnya.
Tambah isteri kepada pelawak terkenal Shuib itu, sepanjang lebih dua dekad berada dalam industri seni tanah air, dia sangat mementingkan etika dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Perkara itu termasuklah setiap hantaran yang ingin dimuat naik dalam media sosial.
“Saya percaya segala perbuatan akan menjadi perhatian masyarakat. Diharap isu ini tidak akan diperbesarkan lagi dan kenyataan ini akan menjadi yang pertama dan terakhir daripada saya,” katanya lagi.
Terdahulu, Siti Sarah dikecam teruk oleh netizen sejak kelmarin selepas videonya menghina kualiti rambut Orang Asli tular dalam media sosial. – K! ONLINE