fbpx

Sesal seorang mat rempit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKIBAT terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan, Akmal akhirnya terjebak dengan aktiviti perlumbaan haram yang diadakan di kawasan strategik. – Gambar hiasan

SEAWAL usia 16 tahun, Akmal (bukan nama sebenar) memperoleh lesen motosikal hasil kerjasama antara pihak sekolah dengan sekolah memandu.

Malangnya, lesen itu seperti tidak ada guna kepada Akmal kerana dia tidak mempunyai motosikal. Jauh di sudut hati anak kelahiran negeri Jelapang Padi itu tersimpan hasrat memiliki motosikal idamannya, Yamaha 125ZR.

Justeru, dia tidak pernah jemu memujuk ibu bapanya membeli motosikal berkenaan dengan alasan untuk memudahkannya berulang-alik ke sekolah atau kelas tambahan.

Disebabkan keluarganya agak berduit, maka permintaan Akmal yang juga anak sulung daripada empat beradik itu ditunaikan.

Bapanya membeli motosikal berkenaan secara tunai pada harga RM8,500.

Pada hari pertama dia menunggang motosikal tersebut ke sekolah, Akmal sudah dipengaruhi rakan-rakannya supaya mengubah suai kenderaan tersebut.

“Motosikal biasa macam ini tidak laju. Kamu kena ubah suai enjin, ekzos dan tayar untuk lebih laju dan ikut kami berkonvoi,” seloroh salah seorang rakannya.

Kata-kata rakannya itu betul-betul menusuk kalbu Akmal. Dia berasa sangat tercabar apabila motosikal baharunya diperlekeh.

Rentetan itu, Akmal nekad untuk menyimpan duit belanja harian sekolah yang diberi ibunya, seorang kakitangan kerajaan bagi memodifikasi motosikal.

“Setiap hari ibu bagi RM5, kalau seminggu saya boleh kumpul RM25. Saya juga ada ikut kawan buat kerja sambilan sebagai pekerja katering di majlis kenduri kahwin.

“Mula-mula saya tukar aksesori luar dahulu sebelum mengubah suai enjin supaya lebih laju dan mengancam. Saya habis hampir tiga ribu ringgit,” ujar remaja bertubuh tegap itu.

Selepas berjaya mengubah suai, Akmal diterima menyertai geng motosikal Y125 di sekolahnya. Dia menghabiskan masa melepak bersama rakan-rakan di bengkel seorang pemuda di hujung kampung.

 

AKTIVITI lumba haram yang disertai Akmal tidak diketahui oleh ibu bapanya. – Gambar hiasan

 

Pada hujung minggu pula, Akmal keluar meronda ke tempat-tempat tarikan seperti Teluk Batik, Perak atau Sedim, Kedah secara berkonvoi bersama rakan-rakan.

Sewaktu berkonvoi, mereka sering berlumba sesama sendiri di atas jalan raya bagi menguji kehebatan jentera masing-masing.

Ada ketikanya, dia dan rakan-rakan melakukan beberapa aksi berbahaya seperti wheely dan superman.

“Disebabkan darah muda, saya dan kawan-kawan suka memperagakan aksi-aksi berbahaya di atas jalan raya bagi menarik perhatian orang di sekeliling,” jelasnya.

Itu hanyalah permulaan sebelum Akmal terjebak dengan aktiviti lumba haram.

Dia sering mengikut rakan-rakan ke laluan Lebuh Raya Utara-Selatan antara susur keluar Sungai Petani Utara dan Gurun yang pernah popular dengan aktiviti lumba haram.

“Pada mulanya, saya ke sana untuk menonton orang berlumba. Lama-kelamaan, saya terjebak dek ajakan rakan,” katanya.

Ketika itu, pelajaran sudah jatuh nombor dua, sebaliknya motosikal dan perlumbaan menjadi perkara utama.

Memburukkan lagi keadaan, ibu bapanya tidak dapat menghidu hobi baharu Akmal itu memandangkan masing-masing sibuk.

Langit tidak selalunya cerah dan begitulah juga nasib yang menimpa Akmal. Pada satu malam, sewaktu menunggu waktu perlumbaan di tepi lebuh raya, dia dan rakan-rakan didatangi sebuah kereta peronda polis.

Disebabkan rasa takut ditangkap, dia dan rakan-rakan melarikan diri.

Akmal dan rakan-rakan memecut secara melulu menuju ke rumah masing-masing. Sewaktu tiba di satu simpang tiga, Akmal melanggar lampu isyarat merah disebabkan bimbang ditangkap.

Nasib tidak menyebelahinya apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta hingga menyebabkannya cedera parah.

“Kejadian itu berlaku pada pukul 3 pagi. Ketika itu saya di depan, manakala kawan-kawan jauh di belakang. Apabila tiba di simpang tiga itu, saya langgar lampu isyarat.

“Kebetulan ada kereta waktu itu dan saya dirempuh sehingga dimasukkan ke ICU (unit rawatan rapi). Saya cedera parah dengan tangan kiri dan kaki kiri patah,” katanya.

Dia mengambil masa selama enam bulan untuk pulih hingga memaksanya menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Dia berasa sangat menyesal kerana terlibat dalam lumba haram yang hampir meragut nyawa dan menjejaskan masa depannya.

“Selepas kejadian itu, saya jadi trauma untuk menunggang motosikal selama beberapa bulan. Saya benar-benar menyesal kerana terjebak dengan aktiviti lumba haram.

“Ia satu mimpi ngeri. Saya berharap anak muda di luar sana tidak melakukan kesilapan yang pernah saya lakukan,” ujar Akmal kesal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI