fbpx

Messi tidak sanggup ‘sakiti’ Barcelona

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MESSI akhirnya mendedahkan keputusannya untuk kekal bersama Barcelona pada sesi wawancara bersama goal.com. – AFP

BARCELONA – Selepas beberapa minggu berdepan spekulasi hangat perpindahan keluar dari Barcelona, bintang paling unggul bola sepak dunia, Lionel Messi akhirnya membuka mulut untuk mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku serta bagaimana dia mengharungi saat sukar tersebut dalam satu temubual khas bersama portal goal.com.

Kekalahan 2-8 kepada Bayern­ Munich pada saingan Liga Juara-Juara bukan sahaja pahit ditelan oleh Barcelona, tetapi ia juga menyebabkan mereka terjerumus dalam konflik apabila Mes­si membuat kenyataan terbuka untuk meninggalkan pasukan tersebut.

Biarpun memiliki klausa perpindahan secara percuma, tetapi beberapa perkara berbangkit di dalam kontrak berkenaan menyebabkan Barcelona tetap me­nuntut pasukan yang mahukan khidmat Messi membayar klausa pelepasan pemain bernilai RM3.4 bilion.

“Ketika saya pertama kali memberitahu mengenai hasrat untuk meninggalkan Barcelona kepada isteri dan anak-anak, ia menjadi satu ‘drama’ yang hebat.

“Mereka menangis, anak-anak tidak mahu meninggalkan Barcelona dan sekolah mereka.

“Tetapi saya mempunyai keinginan untuk bersaing di pe­ringkat tertinggi, memenangi gela­ran, bermain di Liga Juara-Juara. Anda boleh menang dan kalah kerana ia adalah saingan yang sukar tetapi perjuangan perlu diteruskan.

“Apa yang berlaku di Rome, Liverpool dan Lisbon sebelum ini sangat sukar diharungi tetapi kami perlu terus berjuang. Semua perkara itu menyebabkan saya membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan ini,” katanya.

Bagaimanapun, hasrat Messi untuk mencari pengalaman baharu terbantut ekoran keengganan Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu melepaskannya biarpun Messi mendakwa dia dijanjikan peluang untuk meninggalkan pasukan pada penghujung musim 2019/2020.

“Saya fikir dan sangat pasti dibenarkan berpindah. Presiden selalu memberitahu bahawa saya dibenarkan membuat keputusan sama ada untuk kekal atau sebaliknya pada penghujung musim.

“Sekarang mereka membangkit isu bahawa saya tidak memberikan keputusan berkenaan sebelum 10 Jun. Ketika itu saya dan pasukan sedang bersiap untuk kembali menyambung aksi La Liga yang tertangguh akibat Covid-19.

“Itulah sebab saya akan terus kekal beraksi bersama kelab ini. Saya perlu berada di sini kerana presiden memberitahu, satu-satunya cara untuk saya mening­galkan Barcelona adalah de­ngan membayar RM3.4 bilion. Itu pastinya suatu yang mustahil,” jelasnya.

Messi mempunyai pilihan untuk mencabar kesahihan kontrak berkenaan tetapi perlu membawa kes berkenaan ke mahkamah, namun kapten Argentina itu tidak sanggup berbuat demikian kerana masih sa­yangkan Barcelona.

“Masih ada jalan untuk saya meninggalkan Barcelona iaitu melalui undang-undang. Saya tidak akan mengheret Barcelona ke mahkamah kerana sayangkan kelab ini yang telah memberikan saya segala-galanya sejak tiba di sini.

“Ini adalah kelab yang telah membina hidup saya. Barcelona memberikan segala-galanya dan saya juga memberikan mereka segala-galanya. Tidak pernah terlintas untuk saya mengheret mereka ke mahkamah.

“Saya cintakan Barcelona, tidak mungkin mampu mencari tempat yang terbaik berbanding Barcelona. Saya mungkin boleh membuat keputusan untuk ke­luar mendapatkan cabaran baharu, tetapi pada akhirnya saya akan kembali lagi kerana saya mempunyai segala-galanya di sini,” ujarnya.

Messi akan kembali menyertai kem Barcelona yang kini dibim­bing Ronald Koeman yang memikul misi besar memadam episod hitam musim lalu apabila gagal meraih sebarang trofi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN