fbpx

Ketua Geng Jahan diberkas polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Geng Jahan yang merupakan wanita etnik Rohingya diberkas polis semalam.

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

KLANG – Persembunyian seorang wanita etnik Rohingya yang merupakan ketua kumpulan samun bersenjata dan pecah rumah ‘Geng Jahan’ tidak bertahan lama apabila diberkas polis semalam.

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah inap desa di Pantai Morib, Kuala Langat, kira-kira pukul 2.30 pagi dalam operasi turut disertai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata,  dalang utama itu dicekup hasil siasatan dan penahanan ke atas enam ahli geng tersebut sejak 28 Ogos lalu.

“Penahanan wanita itu kemudiannya membawa kepada serbuan di sebuah inap desa di Taman Ria, Jenjarom.

“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun kerana dipercayai telah memajak sejumlah emas yang dicuri geng tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata Nurulhuda turut dirampas adalah sebuah kereta Proton Wira, surat pajak gadai, beg, telefon bimbit dan sejumlah wang.

Ujar beliau, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek wanita itu mendapati positif dadah jenis Methamphetamine.

“Wanita itu direman selama empat hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan manakala lelaki tempatan tersebut diberi jaminan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Geng Jahan yang didalangi etnik Rohingya lumpuh dengan tertangkapnya enam suspek dalam beberapa siri serbuan.

Geng tersebut bergiat aktif di tiga daerah termasuk Kuala Selangor dan Kuala Langat sejak Februari lalu dengan beroperasi pada waktu malam hingga awal pagi.

Mereka yang memiliki kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu dikatakan bergerak secara berkumpulan dengan menaiki kereta Perodua Alza dan turut menjadikan pejalan kaki sebagai sasaran utama. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI