NEW YORK – Bintang tenis dunia, Novak Djokovic tidak berdepan masalah melangkah ke pusingan keempat Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas berjaya meraih kemenangan ke atas Jan-Lennard Struff awal pagi semalam.
Dalam pemburuan gelaran Grand Slam yang ke-18, Djokovic tampil dengan aksi bertenaga, sekali gus meraih kemenangan mudah secara straight-set 6-3, 6-3, 6-1 di Stadium Arthur Ashe.
Pemain No.1 dunia itu melebarkan rekod kemenangannya kepada 26-0 sepanjang 2020 dan lebih manis kini dia mara ke pusingan keempat buat kali ke-13 di Terbuka AS.
“Bagi saya, kemenangan yang dicatat hari ini merupakan persembahan yang sangat baik. Saya juga berjaya membaca pergerakan Struff untuk memperoleh mata.
“Meskipun Struff turun dengan sedikit agresif pada set pertama, namun saya berjaya mengawal permainan dengan baik
“Apa yang saya boleh dikatakan, lawan di pusingan kedua dan ketiga benar-benar hebat di gelanggang,” kata Djokovic.
Pemain Serbia itu memenangi kesemua empat pertemuan terakhirnya dengan Struff yang berada di ranking ke-28 dunia termasuk dua perlawanan tahun ini.
Djokovic dijangka tidak akan berdepan sebarang masalah ketika dijadualkan akan berdepan pemain Sepanyol, Pablo Carreno Busta kerana berjaya merakam tiga kemenangan ke atas Busta sebelum ini. – AGENSI