JAKARTA – Seorang wanita diberkas kerana disyaki menanam bayi yang baru dilahirkannya hidup-hidup di daerah Pegasing, Aceh Tengah kelmarin, lapor laman suara.com.
Ketua Polis Aceh Tengah, Asisten Komisioner Mahmun Hari Sandy Sinurat berkata, perbuatan wanita yang sudah berkahwin tersebut dipercayai kerana malu dengan kelakuannya yang menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain.
“Wanita tersebut ditangkap kerana didakwa menanam bayinya hidup-hidup disebabkan malu melahirkan bayi hasil hubungan sulit dengan lelaki lain yang juga suami orang.
“Kami akan memanggil lelaki berkenaan untuk diambil keterangan dan menyiasat sama ada dia terlibat dalam kejadian tersebut atau tidak,” katanya.
Selain itu, Mahmun berkata, suami wanita itu sedang menjalani hukuman penjara akibat penyalahgunaan dadah.
Tambahnya, polis menahan suspek selepas mendapat laporan daripada jiran wanita itu bahawa dia menanam bayinya lima jam selepas dilahirkan.
“Selepas jirannya mendapat tahu mengenai perbuatan suspek, mereka terus ke rumah wanita itu dan mendapati terdapat kesan tanah baru dikambus sebelum menggalinya semula sekali gus menemui bayi malang berkenaan.
“Bayi tersebut sempat dibawa ke klinik berhampiran, namun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Awam Aceh Tengah,” ujarnya. – Agensi