NAPLES, Itali – Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis mengesahkan, pihaknya sedang berusaha untuk mencapai persetujuan dengan pemain pertahanan tengah Arsenal, Sokratis Papastathopoulos.
Sokratis, 32, dikatakan bakal meninggalkan The Gunners kerana khidmatnya mungkin tidak diperlukan lagi selepas kehadiran dua pemain pertahanan baharu iaitu William Saliba dan Gabriel Magalhaes.
Napoli merasakan tonggak skuad antarabangsa Greece itu mampu menjadi pemain sokongan kepada benteng pertahanan sekiranya berlaku kecederaan melibatkan Kalidou Koulibaly dan Kostas Manolas.
“Kami masih lagi berunding dengan Arsenal untuk mendapatkan tandatangan Sokratis kerana dia menjadi salah satu pilihan pembelian baharu,” kata De Laurentiis.
Sokratis dijangka tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dalam saingan Serie A kerana pernah mewakili Genoa dan AC Milan dari 2008 hingga 2012.
Sokratis kemudian berhijrah ke Jerman dengan mewakili Werder Bremen dan Borussia Dortmund sebelum dia akhirnya menyarung jersi Arsenal pada 2018.
Sepanjang bersama The Gunners, Sokratis telah membuat 69 penampilan dalam semua kejohanan termasuk merangkul Piala FA musim lalu. – AGENSI