BARCELONA – Hasrat Manchester City untuk mendapatkan khidmat bintang Argentina, Lionel Messi mungkin tidak kesampaian apabila dia dilaporkan sedia untuk kekal di Camp Nou.
Terdahulu, kapten The Catalans itu mengejutkan dunia bola sepak apabila berhasrat meninggalkan Barcelona dan meminta pasukan tersebut melepaskannya secara percuma.
Bagaimanapun, selepas bapa Messi yang juga ejennya, Jorge mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Barcelona, pemain berusia 33 tahun itu dikatakan sudah mengubah fikiran.
Barcelona menegaskan, Messi boleh keluar daripada Camp Nou pada jendela perpindahan kali ini sekiranya ada pasukan yang sanggup membayar klausa pelepasan £624 juta (RM3.4 bilion).
Difahamkan Jorge turut mengesahkan pertemuan dengan pengurusan tertinggi membuahkan hasil positif selain mengakui Messi akan kekal di Barcelona.
Media antarabangsa melaporkan Jorge bakal mengadakan pertemuan susulan bersama Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu bagi mengadakan perbincangan lanjut berhubung masa depan Messi.
City dikatakan satu-satunya pasukan yang serius mendapatkan Messi kali ini, namun mereka enggan mengeluarkan dana besar semata-mata membawa masuk pemenang enam kali Ballon d’Or itu. – AGENSI