Oleh ZAKI SALLEH
TAIPING – Nasib keluarga mangsa yang meninggal dunia tertimbus semasa mendulang bijih timah di Batu Kurau dekat sini mendapat perhatian daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk).
Semalam, keluarga berkenaan menerima kunjungan Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Mohamed Akmal Dahalan bersama Pegawai Baitulmal Daerah Selama, Muhammad Naquib Mohamd Tarmizi ke kediaman mereka di Ladang Stroughton, Redang Panjang.
Pada kunjungan tersebut, pihak Maipk telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM300 manakala permohonan bantuan sewa rumah akan pertimbangkan untuk kelulusan.
Sumbangan disampaikan oleh Mohamed Akmal mewakili Maipk kepada balu mangsa, Nur Aqilah Mat.
Nur Aqilah ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya Maipk yang prihatin terhadap keluarganya.
“Saya terharu atas kehadiran pegawai-pegawai Maipk untuk turun padang membantu selain bertanya khabar,” katanya.
Dalam kejadian yang berlaku di sebuah ladang di Batu 24, Batu Kurau pada 28 Ogos lalu, mangsa, Allahyarham Mohd. Zakaria Yahaya, 48, ditemui dalam keadaan membongkok dan tertimbus tanah pada kedalaman lima meter.
Mangsa meninggalkan seorang balu, Nur Aqila, 28, serta enam orang anak yang berusia antara dua hingga 16 tahun yang kesemuanya masih bersekolah.
Sesi ziarah ini turut dihadiri wakil pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah dan Penghulu Mukim Ijok. – K! ONLINE