POPULASI siakap putih yang menjadikan Sungai Kedah berhampiran pintu kawalan air Alor Kelonchor, Kuala Kedah di Alor Setar sebagai habitat semula jadi, menjadikan kawasan itu sentiasa menjadi tumpuan kaki pancing.
Lokasi yang popular sebagai lubuk memancing di Kampung Kelonchor itu biasanya dikunjungi peminat aktiviti memancing pada setiap hujung minggu dan hari kelepasan am.
Selain kawasan itu, kelihatan juga aktiviti menjala ikan oleh penduduk kampung di sebatang sungai kecil yang terletak berhampiran.
Seorang kaki pancing tegar yang merupakan pekerja swasta, Shahrul Azmeer Mohd. Safar, 32, berkata, dia dan rakan-rakan sering mengunjungi lokasi tersebut bagi memancing siakap putih yang menjadi bualan masyarakat setempat.
Katanya, memancing siakap putih agak mencabar kerana ia agak agresif dan memerlukan kemahiran tertentu sebelum berjaya menjinakkannya.
Sebab itu jelasnya, ada hari dia dan rakan-rakan sekadar pulang dengan tangan kosong walaupun ‘mencuba nasib’ dalam tempoh agak lama di kawasan tersebuit.
“Jika berjaya menangkapnya, memang akan ada rasa kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Di sini, memang jadi kawasan pilihan saya dan kaki pancing lain yang mahu memburu siakap putih,” katanya ketika ditemui di lokasi memancing tersebut baru-baru ini.
Menurutnya, dia menggunakan umpan tiruan atau gewang dengan teknik casting iaitu baling dan tarik umpan untuk menarik perhatian spesies tersebut.
Biasanya jelas Shahrul Azmeer, jika berhasil menaikkan siakap putih, hasil tangkapan biasanya seberat kira-kira dua kilogram seekor.
Menurutnya, dia akan memancing di situ dari pukul 4.30 petang hingga 7 malam dan siakap yang berjaya ditangkap akan dibawa pulang untuk dimasak.
“Ikan siakap di sini isinya manis dan ia sedap dibuat pelbagai jenis masakan termasuk bakar atau goreng sahaja,” katanya.
Tambahnya, selain siakap, jenis ikan lain yang terdapat dalam sungai berkenaan adalah haruan, toman, keli, puyu dan tilapia.
Seorang lagi kaki pancing, Mohd. Shafiq Rosli, 22, berkata, dia bersama abang mencuba nasib memancing ikan siakap putih selepas diberitahu rakan-rakan tentang lokasi itu.
“Nampaknya, apa yang diberitahu memang benar dan amat berbaloi datang ke sini semata-mata untuk memperoleh siakap putih,” katanya.
Seorang lagi pemancing, Suhaimi Aziz, 33, selain Sungai Kedah, sungai-sungai kecil yang terletak berhampiran juga menjadi lokasi bagi aktiviti menjala.
“Kita boleh tengok ada aktiviti menjala di sungai-sungai kecil di sini dan biasanya di sini banyak ikan tilapia,” katanya.
Tambahnya, suasana di situ juga mendamaikan dengan pemandangan kawasan sawah padi serta kawasan lapang yang menjadi tempat ragut haiwan ternakan.