fbpx

Jutaan rakyat bersama Veveonah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SUHANA MD. YUSOP
PENGARANG BERITA

“Sejujurnya saya sangat sedih dan kecewa, saya tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan komen negatif dan tidak baik di media sosial. Ia menyakitkan.”

Itu luahan Veveonah Mosibin, pelajar Universiti Malaysia Sabah yang mengulas kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin di Dewan Negara kelmarin.

Veveonah sebelum ini tular di media sosial melalui rakaman video bertajuk 24 hours on tree challenge yang memaparkan tindakannya memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah demi mendapatkan capaian internet bagi menjawab peperiksaan secara online Jun lalu.

Pelajar Asasi Sains itu pada mulanya membina sebuah pondok kecil berhampiran rumahnya untuk tujuan tersebut, namun pondok itu rosak disebabkan hujan beberapa jam sebelum peperiksaan bermula.

Terdahulu, pada perbahahasan di Dewan Negara, Zahidi yang menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin berhubung ketidakseimbangan capaian internet mendakwa Veveonah sebenarnya tidak pernah menduduki peperiksaan sewaktu rakaman video tular berkenaan.

Zahidi mendakwa kisah yang diceritakan pelajar berkenaan dalam rakaman video adalah sekadar hiburan selain untuk menaikkan viewer di saluran YouTubenya.

Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, Zahidi memohon maaf kepada Veveonah dan memberitahu, beliau mendapat maklumat yang tidak tepat mengenai remaja itu.

“Saya akan membuat pembetulan di Dewan Negara Isnin nanti,” katanya di akaun Facebook kelmarin.

Melihat kepada situasi itu, mengingatkan penulis pada peribahasa terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Peribahasa ini amat mendalam, ia bermaksud berhati-hati apabila bercakap kerana ditakuti akan menyinggung perasaan orang lain.

Itulah yang terpaksa dihadapi Veveonah apabila kenyataan Zahidi tular dan di sebalik yang menyokong, banyak lagi kata-kata menghina diterima remaja itu di media sosial.

Bagaimanapun, permohonan maaf yang dibuat Zahidi juga wajar dipuji kerana telah mengakui kesilapan fakta yang diberikan pada umum.

Sejujurnya situasi ini tidak sepatutnya berlaku dan ia perlu diambil pengajaran.

Fakta yang tepat perlu dititikberatkan dalam penyampaian kerajaan. Ini kerana rakyat mempercayai tugas yang dimainkan seorang menteri dan timbalan menteri ekoran capaian maklumat yang diperolehi mereka. Ia juga menjadi sumber rujukan rakyat.

Kesilapan memberikan fakta, ulasan atau penerangan boleh mengelirukan orang ramai seterusnya membuatkan rakyat hilang kepercayaan.

Seorang pemimpin perlu melaksanakan tugas secara berhati-hati. Malah, pegawainya perlu menyemak fakta agar butiran yang diberi adalah betul dan tidak sesekali mengaibkan orang lain.

Kepantasan internet pada masa ini tidak boleh disangkal, berita yang dikeluarkan sama ada positif mahupun negatif boleh menjadi tular dengan sepantas kilat.

Maka, berhati-hatilah, jangan kongsi jika tidak pasti.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI