STUTTGART – Ketua jurulatih Jerman, Joachim Low kecewa dengan kegagalan anak buahnya menewaskan Sepanyol pada aksi Liga Negara-Negara Eropah di Arena Mercedes-Benz awal pagi semalam.
Sebaliknya, juara Piala Dunia empat kali itu terpaksa akur sekadar seri 1-1 apabila membenarkan Sepanyol bangkit meledak gol penyamaan melalui percubaan Jose Luis Gaya pada minit ke-96.
“Kami bersaing cukup hebat hari ini (awal pagi semalam) dan disebabkan itu, saya memang kecewa dengan gol penyamaan pada hujung perlawanan ini.
“Secara keseluruhan, saya tetap berpuas hati dengan prestasi para pemain kerana kami berjaya memberikan tekanan kepada Sepanyol sepanjang perlawanan ini.
“Kami juga ada peluang yang lebih untuk menang, jadi saya tetap gembira kerana ini adalah kali pertama saya bermain dengan barisan pemain seperti ini,” katanya.
Jerman terlebih dahulu berjaya membuka tirai jaringan menerusi penyerang baharu Chelsea, Timo Werner menewaskan penjaga gol Sepanyol dan Manchester United, David De Gea pada minit ke-51.
Sepanyol dilihat hampir gagal untuk menjaringkan gol buat kali pertama dalam 40 perlawanan berturut-turut sebelum Gaya menjaringkan gol penyamaan pada hujung masa tambahan separuh masa kedua.
Aksi seterusnya Isnin ini menyaksikan Jerman akan menentang Switzerland yang tewas 1-2 kepada Ukraine dalam satu lagi perlawanan Kumpulan 4 Liga A awal pagi semalam. – AGENSI