DISANGKA panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Peribahasa itu cukup menggambarkan rumah tangga Irwan (bukan nama sebenar), 35, apabila ‘syurga’ yang dibinanya hanya bertahan seketika sebelum musnah dek skandal cinta monyet yang kembali berputik.
Hati lelaki mana tidak remuk mengenangkan nasib diperdaya wanita yang menjadi ibu kepada dua anaknya.
Kemelut itu angkara majlis pertemuan semula atau reunion yang dihadiri bekas isterinya pada dua tahun lalu.
Emosi lelaki yang bekerja sebagai eksekutif pemasaran itu kian terguris apabila mengetahui hubungan wanita tersebut dengan bekas rakan sekolahnya.
Lebih perit, usia enam tahun rumah tangga Irwan menemui titik noktah selepas Nurin (bukan nama sebenar), 31, ditangkap berkhalwat dengan rakan sekolahnya itu.
Menceritakan episod duka itu, Irwan yang berasal dari selatan tanah air pada awalnya tidak mengesyaki apa-apa selepas majlis reunion tersebut.
“Atas dasar toleransi, saya bersetuju menghadiri majlis yang diadakan bagi mengumpul rakan sekolah Nurin di Kuala Lumpur.
“Pada pertemuan awal 2018 itu, tiada terdetik di hati untuk mencurigai sesuatu biarpun dia mengaku bekas teman lelaki wanita itu turut berada di situ.
“Namun, saya hanya beranggapan lelaki berusia sebayanya itu hanya sekadar rakan lama di bangku persekolahan.
“Ketika ditanya, Nurin berpesan supaya usah khuatir kerana bekas kekasihnya itu sudah berkeluarga,” katanya.
Telahan positif itu ternyata meleset apabila Nurin mula memperlihatkan perubahan drastik dirinya.
“Dia dilihat berubah sekelip mata kerana kerap menghabiskan masa dengan telefon pintarnya tanpa mengira waktu.
“Telefon itu sentiasa di tangannya sehingga sanggup berhenti menonton televisyen dan berkurung lama di dalam bilik air.
“Menyedari tingkah lakunya diperhati, Nurin memberitahu saya bahawa dia sibuk berhubung dengan kumpulan WhatsApp rakan alumninya,” ujarnya.
Bagi mendapatkan kepastian, Irwan juga cuba memeriksa telefon itu, namun gagal kerana telah mempunyai nombor pin keselamatan.
Kesabarannya kian menipis apabila Nurin yang pada awalnya bersifat penyayang menjadi ibu yang mula mengabaikan tanggungjawab terhadap dua anak mereka yang masih kecil.
“Berang ditanya punca perubahannya itu, dia meminta saya menceraikannya dengan alasan penat dan bosan dengan hubungan kami.
“Memikirkan masa depan dua anak lelaki, saya tidak menuruti kehendaknya dan terus menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
‘Lakonan’ umpama pasangan suami isteri yang kononnya bahagia itu berlarutan selama hampir enam bulan.
“Rumah tangga kami menjadi berantakan apabila wanita itu turut sanggup memarahi dua anak kami hanya kerana perkara remeh,” tambahnya.
Enggan terus dianggap dayus, Irwan terus mencari jawapan yang pasti dengan kerap mengekori bekas isterinya itu.
“Segalanya terjawab pada pertengahan 2018 apabila Nurin dilihat pergi ke sebuah hotel di ibu negara bersama seorang lelaki. Dengan hati yang amat luluh, saya tanpa berfikir panjang terus melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Ternyata dia kemudian didapati berkhalwat dengan bekas kekasihnya yang dikenali ketika majlis reunion itu di dalam sebuah bilik hotel,” ujarnya.
Menurut Irwan, biarpun ditentang keluarga, dia berpendirian tegas untuk tetap menceraikan wanita yang pernah menjadi suri hatinya itu.
“Dia bukan hanya menderhaka dan mensia-siakan kasih sayang saya serta anak kami, malah sanggup melakukan perbuatan terkutuk. Perpisahan mutlak adalah jalan terbaik buat kami,” katanya yang telah bercerai dan turut mendapat hak penjagaan anak daripada sebuah mahkamah syariah.
Irwan yang kini masih menduda mengingatkan para suami isteri supaya berwaspada dengan pasangan masing-masing yang mungkin terjebak dengan cinta reunion.
“Tiada salahnya majlis seumpama itu, namun ia perlu berlandaskan niat bersahabat semata-
mata,” katanya.