Oleh SYED MOHD HAZIQUE SYED NOR, MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS, ABDUL RAZAK IDRIS dan ISKANDAR SHAH MOHAMED
KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan air yang dihadapi kira-kira lima juta penduduk sekitar Lembah Klang melibatkan hampir 1.2 juta pemegang akaun sejak kelmarin dijangka berterusan selama empat hari lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman berkata, gangguan bekalan air itu berlaku apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang masih tercemar.
Katanya, usaha untuk memulihkan pencemaran itu memakan masa dan pihaknya perlu memastikan benar-benar selamat sebelum disalurkan kepada pengguna.
“Setakat pukul 2.30 petang tadi (semalam) pencemaran air Sungai Selangor masih lagi dikesan di muka sauk loji tersebut dan berada pada tahap 1 ton. Ia hanya akan mula beroperasi apabila bacaan menjadi 0 ton.
“Kami memandang serius isu ini kerana telah menyebabkan LRA tersebut diberhentikan operasi sehingga 30 jam,” katanya.
Tambahnya, gangguan itu menyebabkan pihaknya tidak dapat menyalurkan 2,767 juta liter air ke 1,292 kawasan yang terjejas di sekitar Lembah Klang.
Menurut Suhaimi, Air Selangor menyediakan perkhidmatan tangki air dan lori tangki untuk diletakkan di kawasan terjejas.
“Pengguna juga disaran mendapatkan bekalan air melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat yang beroperasi selama 24 jam sehingga bekalan kembali pulih,” katanya sambil memberitahu sampel air telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, pencemaran bau yang melanda Sungai Selangor itu disyaki berpunca dari sebuah bengkel jentera berat di Rawang.
“Kita telah mengarahkan bengkel itu ditutup serta-merta hari ini (semalam). Siasatan mendapati tempat itu tidak mempunyai sistem pembungan sisa yang efisien,” katanya.
Tambahnya, minyak hitam dari jentera berat telah mengalir ke longkang dan bersambung terus ke sungai berhampiran premis tersebut.
Menurut Loy Sian, ini kejadian kedua melibatkan bengkel bersebut. Kali pertama berlaku pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan dan pemilik premis telah dikompaun RM60,000.
Dalam pada itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaludin Abu Bakar berkata, beliau akan membawa usul untuk meminda Akta Industri Perkhidmatan Air dan Kualiti Alam Sekeliling kepada Kabinet.
“Ia perlu kerana sudah sampai masa mereka yang terlibat mencemarkan air dikenakan hukuman yang lebih berat. Sumber air perlu dilihat sebagai kategori keselamatan negara,” katanya menerusi ciapan di laman Twitternya semalam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor, Nor Aziah Jaafar mengakui tindakan yang dikenakan sebelum ini gagal memberikan pengajaran kepada pemilik kilang itu.-K! ONLINE