Oleh NORLIA RAMLI
BALING – Sepuluh sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia dua tahun melalui detik cemas apabila mereka terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Kampung Bukit Sebelah, Mukim Siong di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, pasangan suami isteri Ning Sahap, 66, dan Siti Laila Ab. Hamid, 58, bersama tiga anak, seorang menantu dan empat cucu tidak dapat keluar dari rumah kerana arus deras banjir.
Menurut Siti Laila, situasi menjadi cemas apabila air naik dengan cepat sehingga paras dada di kawasan luar rumah.
“Di dalam rumah pula, banjir sudah mencecah paras pinggang menyebabkan kami semakin bimbang dengan keselamatan diri.
“Keadaan menjadi lebih buruk apabila kami tidak dapat keluar menyelamatkan diri kerana arus deras banjir akibat limpahan Sungai Bukit Ketil yang terletak kira-kira tujuh meter sahaja dari rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Katanya lagi, dia sekeluarga membuat keputusan untuk tidak keluar kerana bimbang dihanyutkan arus deras.
“Kami kemudian menghubungi bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk bantuan,” katanya.
Tambahnya, mereka terperangkap hampir sejam sebelum diselamatkan anggota bomba dan APM
“Nasib baik anggota penyelamat datang membantu yang mana operasi menyelamat menggunakan tali bagi mengelakkan kami dihanyutkan arus deras,” jelasnya.-K! ONLINE