Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
SEBERANG PERAI – Seorang warga emas dijumpai mati dalam keadaan terlentang dan berbogel di sebuah dusun durian di Berapit, Bukit Mertajam di sini kira-kira pukul 1.40 petang hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, mayat lelaki yang dikenali sebagai Cheng Lip Soon, 77, itu ditemui oleh seorang lelaki lain yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
Katanya, beberapa anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian kemudian menemukan mayat tersebut di hadapan sebuah pondok dalam dusun berkenaan dalam keadaan seperti yang dilaporkan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, tiada sebarang tanda-tanda (pada tubuh mayat) yang boleh dikaitkan dengan perlakuan jenayah.
“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk tujuan bedah siasat,” katanya yang memberitahu, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- K! ONLINE