Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR
SHAH ALAM – Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengumumkan tempahan Nissan Almera Turbo kini dibuka bermula hari ini.
Menurutnya dalam satu kenyataan kepada media semalam, tiga varians ditawarkan dengan menggunakan enjin 1.0 liter turbo.
“Enjin itu dipadankan dengan transmisi CVT dengan sistem D-Step Logic dan butang sport.
“Gabungan itu mampu menawarkan kuasa tork sehingga 152Nm pada 2,400-4,000 rpm dan penjimatan bahan api pada 1 liter untuk perjalanan 18.4 kilometer (KM),” katanya dalam satu kenyataan sebelum sesi pandu uji untuk media di sini hari ini.
Tambahnya, model generasi kedua juga hadir dengan teknologi keselamatan seperti Nissan Intelligent Mobility dan Nissan Safety Shield 360.
“Secara keseluruhan model ini 70 milimeter (mm) lebih panjang, 45 mm lebih besar dan 40 mm lebih rendah berbanding generasi pertama.
“Ia hadir dengan jaminan selama 5 tahun tanpa had perbatuan dan 5 tahun penyelenggaraan percuma,” tambahnya.
Nissan Almera Turbo dijangka akan dilancarkan pada Oktober depan dengan harga anggaran antara RM80,000 hingga lebih RM90,000. -K! ONLINE