fbpx

Syukur masih ada yang prihatin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi (kiri) melawat Hussin Sani yang terlantar sakit di kediamannya di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan hari ini.

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Ahli keluarga anggota Senoi Praaq yang terlantar akibat  strok bersyukur kerana masih ramai prihatin dengan nasib pejuang negara itu.

Hassan, 40, berkata, selepas kisah bapanya Hussin Sani, 81, disiarkan Kosmo! Online, ramai pihak menghubunginya bagi bertanyakan khabar.

Katanya, dia terkejut apabila turut dihubungi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mahu mengetahui perkembangan lanjut bapanya.

“Kami bersyukur masih ramai yang prihatin dan ingin tahu keadaan ayah.

“Kami mengalu-alukan jika ada pihak mahu berjumpa dan melawat ayah yang terlantar sakit di rumah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi bersama timbalannya, Zabidi Ishar.

Menurut Hassan, bapanya yang dahulu bertugas sebagai anggota awam cawangan khas kini bergantung kepada susu.

Katanya, setiap tiga jam sekali bermula pukul 6 pagi ahli keluarga akan memberi bapanya air susu melalui tiub khas.

“Kami adik-beradik seramai 23 orang bersyukur dan tidak pernah berasa terbeban apabila bergilir-gilir untuk menjaga ayah.

“Ayah juga menerima pencen sebanyak RM1,300 dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan. Bantuan kewangan itu digunakan untuk membeli susu dan lampin pakai buang ayah,” katanya.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan seorang bekas anggota Senoi Praaq yang pernah bertugas sewaktu zaman darurat kini terlantar sakit sejak dua tahun lalu selepas diserang penyakit strok.

Beliau yang tinggal di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini bertugas ketika zaman komunis pernah menerima anugerah daripada Istana Kelantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana jasanya mempertahankan tanah air.

Hussin yang berada dalam keadaan separuh sedar akibat serangan strok mempunyai 23 anak serta 100 cucu, cicit dan piut hasil daripada tujuh perkahwinan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI