fbpx

Syaidatul Afifah umum bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAIDATUL AFIFAH membuat keputusan untuk bersara daripada skuad kebangsaan kerana mahu fokus kepada kerjaya yang lebih menjamin masa depan.

PEMAIN boling jelita negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi percaya keputusan untuk bersara sepenuhnya daripada arena kebangsaan dibuat tanpa sebarang perasaan kesal meskipun jauh di lubuk hati masih ada rasa sedih.

Afifah yang kini berusia 29 tahun percaya fokus selepas ini ter­arah kepada kerjaya yang lebih menjamin masa depan berban­ding meneruskan karier sebagai atlet kebangsaan dan kemungkinan besar mencuba bidang pe­ngacaraan.

“Keputusan drastik ini dibuat untuk menentukan hala tuju hidup saya ke fasa yang baharu. Cukup 11 tahun orang kenal saya sebagai atlet boling kebangsaan dan kini saya perlu fikirkan karier yang lebih stabil.

“Saya berani untuk cuba ba­nyak bidang. Secara jujur, sebelum ini saya ada dapat tawaran kerja (tetap atau separuh masa) tapi disebabkan komitmen sebagai atlet kebangsaan, saya ambil keputusan untuk tolak tawaran tersebut kerana terikat dengan latihan,” katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya semalam.

Antara pencapaian terbaik Afifah adalah memenangi pingat emas berpasangan wanita pada Kejohanan Asia 2015 di Bangkok, pingat emas berpasukan wanita Kejohanan Boling Dunia 2017 di Las Vegas dan pingat emas trio berpasukan wanita Sukan Asia 2018 di Palembang.

Mengulas lanjut, Afifah me­ngakui dirinya akan tetap bermain boling di peringkat domestik dan sangat berminat untuk menjadi jurulatih di peringkat akar umbi.

“Saya tidak bersara 100 peratus, tetapi hanya melibatkan skuad negara sahaja. Boling sebahagian dalam hidup saya dan tetap mahu menyertai pertan­dingan sebagai pemain profesional dan juga melatih kanak-kanak di pe­ringkat akar umbi.

“Secara keseluruhan, penghargaan juga diucapkan kepada MSN (Majlis Sukan Negara), Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), keluarga dan rakan-rakan seperjuangan yang telah menyokong saya selama ini selain peminat yang saya sayangi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI