LONDON – Kelab dari Arab Saudi dan Qatar dilaporkan bersedia memberikan kontrak mewah kepada bintang Arsenal yang semakin tenggelam, Mesut Ozil untuk menyelamatkan masa depannya.
Arsenal dilaporkan sudah tidak sanggup untuk membayar gaji mingguan sebanyak £350,000 (RM1.9 juta) kepada pemain antarabangsa Jerman itu.
Kehadiran pengurus baharu Arsenal, Mikel Arteta tidak mampu mengubah nasib Ozil yang terus disisihkan sebaik liga kembali bersambung ekoran pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, Ozil yang mampunyai baki kontrak selama setahun di Emirates konsisten dengan pendiriannya untuk tidak meninggalkan Arsenal selain enggan gajinya dipotong biarpun hanya memanaskan bangku simpanan.
Menurut satu laporan di England, kelab Al-Nassr dari Arab Saudi sudah menghubungi ejen pemain berkenaan untuk melihat potensi perpindahan dan sebuah lagi kelab dari Qatar yang enggan didedahkan namanya turut berbuat demikian selain sanggup mengekalkan jumlah gaji yang diterimanya di Arsenal.
Namun, Ozil dalam satu kenyataanya mahu semua orang menghormati keputusannya untuk kekal bersama kelab London itu.
“Saya akan putuskan bila saya sepatutnya meninggalkan kelab ini bukannya orang lain.
“Saya akui segalanya tidak berjalan dengan lancar tetapi saya sangat sayangkan Arsenal.
“Apa yang berlaku dalam dua musim terakhir membuatkan mental saya menjadi kuat. Saya tidak pernah berputus asa,” katanya.
Ozil sebelum ini menerima kritikan apabila enggan menerima cadangan pemotongan gaji bagi membantu kelab itu menghadapi masalah Covid-19.. – AGENSI