BEKAS raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad menegaskan, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi perlu menjadikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai salah satu pertandingan dalam kalendar padatnya tahun depan.
Olimpian negara pada Sukan Olimpik 2004 di Athens, Greece itu berpendapat, keputusan SPM cemerlang mampu membolehkan Azeem menerima biasiswa daripada universiti-universiti luar negara terutamanya kuasa besar olahraga dunia, Amerika Syarikat (AS).
“Walaupun banyak kejohanan tetapi tidak perlu pilih semua kerana tahun depan dia ada SPM yang penting dalam kehidupannya. SPM boleh dimasukkan sebagai salah satu ‘pertandingan’ dalam pelan periodisasinya.
“Dia kena belajar dan bersedia untuk menghadapi SPM kerana ia boleh membantu mendapatkan biasiswa daripada universiti-universiti luar negara,” katanya.
Bagaimanapun, Nazmizan yang juga Timbalan Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi Universiti Malaysia Perlis turut mengakui kepentingan kejohanan-kejohanan bakal disertainya tahun depan dalam laluannya untuk mendapat biasiswa.
“Ia penting juga untuk dia menimba pengalaman dan membina keyakinan diri selain membantu dari segi perkembangan psikologinya.
“Kalau prestasinya cemerlang dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa, mungkin video lariannya itu akan dilihat jurulatih-jurulatih daripada universiti di luar negara sekali gus memudahkan dia untuk terima biasiswa,” jelasnya.
Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat di Ipoh, Perak itu perlu menyambung pengajiannya di AS jika berhasrat mahu muncul pelari 100 meter (m) dengan catatan masa bawah 10 saat (s).