PERMATA olahraga negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi bakal mendapat peluang menguji kemampuannya dalam beberapa kejohanan antarabangsa tahun depan sama ada dia mampu bersaing hebat atau sekadar jaguh kampung.
Bagi Azeem, matlamat utamanya tahun depan adalah layak ke Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam bermula 21 November hingga 2 Disember setelah gagal bersaing dalam kejohanan antarabangsa tahun ini.
Walaupun baru berusia 16 tahun, tetapi ia tidak menghalang Azeem untuk memahat namanya sebagai pelari keenam terpantas dalam sejarah 200 meter (m) Malaysia dengan catatan masa 21.04 saat (s) di Ipoh, Perak pada Februari lalu.
Malangnya, penularan pandemik Covid-19 sebulan kemudian merencatkan peluang atlet dari Ipoh, Perak itu untuk membuktikan kemampuannya kerana semua kejohanan tempatan dan antarabangsa terpaksa dibatalkan.
Ia termasuk dua pertandingan utama sasarannya iaitu Kejohanan Remaja Asia di Bangkok, Thailand pada Mei dan Kejohanan Remaja Dunia di Nairobi, Kenya yang sepatutnya berlangsung sekitar Julai lalu.
Justeru, Azeem yang diberi gelaran Usain Bolt Malaysia perlu memastikan dirinya bersedia sebaik mungkin menghadapi jadual padat tahun depan yang membabitkan enam kejohanan antarabangsa jika namanya tersenarai.
“Tahun depan adalah antara tahun paling mencabar dalam karier saya. Selain peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, saya juga ada banyak kejohanan yang sepatutnya berlangsung tahun ini ditunda ke tahun depan.
“Rugi kalau saya tidak fokus pada kejohanan antarabangsa kerana ia satu pendedahan yang baik dalam perkembangan saya. Mungkin selepas ini saya perlu pilih platform-platform yang terbaik buat saya.
“Saya tak mahu letak sasaran catatan masa kerana saya perlu lakukan yang terbaik dalam semua pertandingan. Matlamat utama saya mahu rebut tempat ke Sukan SEA Vietnam 2021,” katanya.