NEW YORK – Pemain tenis Perancis, Caroline Garcia mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk menewaskan pilihan pertama, Karolina Pliskova dengan kemenangan straight- set pada aksi pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat (AS) semalam.
Pada aksi tersebut, Garcia tidak mempunyai masalah untuk merekodkan kemenangan 6-1, 7-6 dalam tempoh 90 minit untuk menempah pertemuan dengan Jennifer Brady di pusingan ketiga.
Kata Garcia, dia terpaksa memberi tumpuan sepenuhnya pada set kedua yang mana Pliskova berusaha untuk bangkit membawa perlawanan ke set penentuan.
“Saya gembira apabila berjaya meraih kemenangan ini yang bukan mudah untuk diraih apabila bertemu dengan pemain berkualiti yang juga pilihan pertama kejohanan seperti Pliskova.
“Secara jujur, ia adalah perlawanan yang sukar kerana Pliskova memberikan cabaran khususnya pada set kedua tetapi saya berjaya mengekalkan momentum dan tenang sehingga tamat perlawanan,” katanya.
Mengulas mengenai pertemuan dengan Brady, Garcia mengakui dia perlu menggandakan usaha dan tidak boleh terleka kerana apa sahaja boleh berlaku.– AGENSI