KUALA LUMPUR- Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) menafikan mesej tular yang menyatakan Loji Rawatan Air telah beroperasi semula malam ini.
Ketua Komunikasi Korporat syarikat itu, Elina Baseri berkata, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang masih belum beroperasi semula.
“Ujian persampelan yang dijalankan di muka sauk sehingga jam 8.30 malam ini masih mengesan pencemaran pada tahap 1 TON. LRA hanya boleh beroperasi apabila tahap pencemaran berada pada tahap 0 TON.
“Air Selangor menasihatkan para pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi melalui hebahan rasmi atau saluran-saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan ini,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tular satu mesej di aplikasi Whatsapp yang menyatakan Pencemaran berbau di Sungai Gong telah diselesaikan dan LRA dijangka akan beroperasi semula sepenuhnya pada pukul 8 malam.
Tambah Elina, Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman web di www.airselangor.com.
Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air. -K! ONLINE