fbpx

Suami cangkul isteri gara-gara keluar bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Di Pasar Besar Dungun inilah wanita tersebut bekerja sebagai pembantu yang menimbulkan kemarahan suspek berkenaan.

DUNGUN – Berang isterinya keluar bekerja sebagai pembantu di Pasar Besar Dungun di sini, seorang suami sanggup memukul wanita itu dengan cangkul dalam satu kejadian di Kampung Molek, Kuala Dungun di sini pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, wanita berusia 34 tahun tersebut cedera di paha dan tangan kiri serta sakit dibahagian telinga akibat dipukul dan ditampar suaminya yang merupakan seorang penganggur.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek berusia 38 tahun itu bertindak ganas kerana tidak merestui isterinya keluar bekerja.

“Suspek tidak membenarkan isterinya keluar bekerja sehingga­ mencetuskan perang mulut antara­ mereka.

“Lelaki itu yang naik berang kemudiannya telah menarik rambut isterinya sehingga menyebabkan mangsa terjatuh sebelum memukulnya dengan cangkul,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Baharudin berkata, suspek yang tidak berpuas hati turut menampar pipi isterinya dan mengugut untuk membunuh wanita tersebut selain mence­derakan dua anak mereka yang berusia 10 dan 13 tahun.

Tambahnya, lelaki itu juga melepaskan marahnya dengan me­rosakkan motosikal yang digunakan isterinya untuk berulang alik ke Pasar Dungun.

“Perbuatan suspek mengamuk mencederakan isterinya disaksikan kedua-dua anak mereka. Siasatan awal mendapati, mangsa sebelum ini sering dikasari suaminya yang panas baran.

“Mangsa telah membuat laporan polis di balai polis berhampiran selepas menerima rawatan di sebuah klinik berhampiran,” ujarnya.

Menurutnya, suspek telah ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Ke­seksaan dan Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI