MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
SHAH ALAM – Kegiatan sindiket menjadikan sebuah rumah banglo sebagai markas memproses arak tiruan sejak enam bulan lalu tumpas selepas diserbu pihak berkuasa di Seksyen 11, di sini semalam.
Serbuan pukul 12 tengah hari menerusi Ops Tiru itu dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor susulan hasil risikan yang dilakukan, bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan pihak tersebut.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, operasi tersebut adalah susulan hasil risikan pihaknya selama dua minggu terhadap sebuah rumah banglo yang difahamkan disewa oleh sindiket tersebut sebanyak RM6,000 sebulan.
Katanya, berdasarkan risikan juga mendapati arak-arak tersebut adalah untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.
“Empat pegawai KPDNHEP Selangor bersama wakil pemilik cap dagang yang hadir di rumah berkenaan mendapati rumah mewah itu tidak berpenghuni dengan pintu jeriji berkunci dengan mangga.
“Kita terpaksa memecah mangga jeriji dan kunci pintu rumah tersebut dan pemeriksaan di rumah tersebut menemui dua tong berkapasiti 200 liter yang mengandungi arak tiruan telah siap diadun untuk diisikan ke dalam botol,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, hasil pemeriksaan juga menemui sejumlah 40 botol arak tiruan yang telah siap dibungkus , pelekat label dan cukai Kastam Diraja Malaysia serta mesin-mesin untuk mengisi semula arak tiruan tersebut.
Muhamad Zikril menambah, di antara jenama arak yang telah ditiru adalah The Singleton, Johnie Walker Black Label dan Red Label, Chivas Regal serta Jack Daniel’s dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM15,275.
“Kita sedang mengesan pemilik dan penyewa rumah tersebut berdasarkan bil elektrik yang ditemukan di lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019,” katanya. -K!ONLINE