Oleh NUR ALINA HASSAN
MUAR- Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah tiga tahun lalu.
Hakim, Datuk Halijah Abbas membuat keputusan itu ke atas Mohamad Hafizi Zainal Abidin, 29, setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Terdahulu, Mohamad Hafizi yang memakai baju T berwarna kelabu dan berseluar jean dihadapkan dengan dua pertuduhan iaitu Seksyen 39B dan 39(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengedar dadah jenis heroin dan monoacetylmorpines seberat 17.8 gram (g) di Lebuhraya AMJ Kesang dalam daerah Tangkak.
Manakala pertuduhan kedua pula, pemuda itu didapati bersalah kerana memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 8.06g di lokasi sama.
Kedua-dua kesalahan dilakukan pada 12 September 2017 pukul 6 petang.
Terdahulu, Halijah dalam penghakimannya berkata, kewujudan heroin di tubuh tertuduh pada hari kejadian telah membuktikan mengenai status pemilikan barang kes berkenaan.
“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie bagi kes ini. Tiada sebab untuk mengatakan dadah tersebut bukan milik kamu, maka tertuduh telah dianggap mengedar dadah dan mahkamah memutuskan hukuman mati mandatori.
“Bagi pertuduhan kedua, mahkamah memerintahkan kamu menjalani hukuman penjara selama tiga tahun bermula hari ini serta lima sebatan,” katanya.
Terdahulu, seramai enam saksi pendakwaan dipanggil bagi memberikan keterangan sepanjang perbicaraan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi manakala tertuduh diwakili peguam bela, S. Vijayaretnam.-K! ONLINE.