fbpx

Pendaftaran pelajar asing di UniKL menyusut akibat Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Latiff.

Oleh SHAARANI ISMAIL

IPOH – Sasaran Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk meningkatkan bilangan pendaftaran pelajar asing bagi mengikuti pengajian di universiti berkenaan sehingga 15 peratus tidak dapat direalisasikan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, pendaftaran pelajar asing tahun ini di universiti kelolaan MARA itu sangat kurang memberangsangkan berikutan beberapa kekangan baik di Malaysia dan di seluruh dunia.

“Negara kita masih belum membuka pintu masuk kepada pelajar asing begitu juga negara yang biasa menghantar pelajar ke UniKL juga masih belum membuka kebenaran untuk rakyat mereka keluar” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat ketika lawatannya ke UniKL – Royal College of Medicine Perak (RCMP) di sini hari ini.

Abdul Latiff berkata, ketika ini terdapat kira-kira 950 pelajar asing menuntut di UniKL iaitu kira-kira hampir 10 peratus daripada keseluruhan 10,000 pelajar yang ada di UniKL dan beberapa cawangannya di seluruh negara.

Dalam pada itu, mengulas kunjungannya ke Unikl-RMCP, Abdul Latiff berkata, sebagai antara 1,000 universiti terbaik dunia, lawatannya ke UniKL-RMCP adalah bagi melihat dan mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana UniKL beroperasi khususnya ketika dunia sedang berhadapan ancaman Covid-19.

Katanya, apa yang ditekankan adalah untuk memastikan sistem pembelajaran di UniKL-RMCP dapat dilaksanakan dengan lebih baik meskipun hanya menggunakan kaedahn pembelajaran secara maya dan dalam talian.

“Apa yang penting sesi pembelajaran berlangsung dengan baik tanpa gangguan.

“Cuma saya juga nak pastikan bahawa pelajar yang terbabit perlu mengamalkan norma baharu Covid-19 sebagaimana ditetapkan kerajaan,” katanya.

Katanya, walaupun terpaksa mengurangkan jumlah pelajar ketika latihan amali dilaksanakan, setiap satu kaedah dilaksanakan mengikut kriteria ditetapkan dan dilaksanakan mengikut standard dan kaedah ditetapkan.- K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI