FLORENCE, Itali – Ketua jurulatih Itali, Roberto Mancini memilih untuk tidak menyenaraikan nama bintang muda Brescia, Sandro Tonali untuk dua perlawanan antarabangsa Liga Negara-Negara Eropah menentang Bosnia-Herzegovina dan Belanda.
Mancini, 56, terpaksa membuat keputusan itu supaya fokus Tonali, 20, tidak terjejas memandangkan pemain tengah tersebut kini dikatakan semakin hampir untuk melengkapkan perpindahannya menyertai AC Milan.
Justeru, Mancini memanggil Jorginho untuk mengisi kekosongan bahagian tengah.
Bekas pengendali Manchester City itu merasakan kehadiran Jorginho, 29, mampu memastikan skuad bimbingannya mengatasi Bosnia yang bakal diketuai penyerang sensasi AS Roma, Edin Dzeko di Stadium Artemio Franci pada Sabtu ini.
The Azzurri pernah menewaskan Bosnia sebanyak dua kali dalam pusingan kelayakan Euro tahun lalu.
“Saya masih ingat Bosnia pernah menjaringkan gol terlebih dahulu sewaktu kami bertemu mereka di Turin sebelum ini. Jadi, saya mahu semua pemain memberikan fokus supaya perkara sama tidak berulang kali ini.
“Jika kami tak mampu melepasi halangan Bosnia, ia bermakna kami akan berdepan kesukaran untuk menewaskan Belanda selepas ini pada Selasa ini,” kata Mancini. – AGENSI