KUALA LUMPUR – Pelawak yang pernah mencipta nama menerusi kumpulan duo KU2, Kumin meninggal dunia pada usia 49 tahun kira-kira pukul 12.31 tengah hari di kediamannya dekat Pandan Indah, Selangor.
Berita tersebut disampaikan teman baik Allahyarham Kumin atau nama lengkapnya, Khuzami Ismail iaitu Yank Kassim.
“Isterinya memberitahu, dia keluar membeli barang di kedai pagi tadi.
“Sekembali ke rumah, dia mendapati Kumin terbaring di lantai tepi katil dengan wajah dan tangan kebiru-biruan.
“Allahyarham sudah sihat selepas dimasukkan ke hospital akhir Julai lalu akibat sesak nafas, angin pasang dan air berlebihan dalam badan. Namun, hal berkaitan maut semua ketentuan Ilahi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Menurut Yank atau nama sebenarnya, Yusof Mohamad kassim, 53, jenazah akan dibawa ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Katanya lagi, kemungkinan besar, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah, Seri Menanti, Kuala Pilah selepas dibedah siasat.
“Mungkin akan dikebumikan di sana selepas Isyak (malam ini). Tunggu hasil bedah siasat pihak hospital,” kata Yank lagi.
Allahyarham Kumin mula aktif dalam industri hiburan sejak era 1990-an. Dia bersama rakan baiknya Allahyarham Bob Kuman pernah menubuhkan kumpulan duo dikenali KU2 yang berjaya melonjakkan populariti mereka meskipun bertubuh besar.
Selama membina nama bersama KU2, KU2 pernah menghasilkan empat album iaitu Motivasi pada 1994, Evolusi (1997), Album Baru Aku! (1999) dan The Best of KU2 (2001).
Berbanding Allahyarham Kuman yang banyak berlakon, Kumin pula memilih fokus dengan kerja belakang tabir dan menjadi pengurus produksi. – K! ONLINE