TOKYO – Sebuah kapal kargo membawa 43 anak kapal dan kira-kira 6,000 ekor lembu karam selepas mengaktifkan isyarat kecemasan dekat perairan Jepun semasa Taufan Maysak melanda, demikian menurut seorang kelasi yang diselamatkan pasukan Pengawal Pantai.
Kapal Gulf Livestock 1 mengeluarkan isyarat kecemasan awal pagi kelmarin pada kedudukan 185 kilometer ke barat Pulau Amami Oshima di Jepun.
Kelmarin, pasukan Pengawal Pantai Jepun menemui seorang kelasi yang terselamat, dikenal pasti sebagai warga Filipina berumur 45 tahun.
Dia memakai jaket keselamatan dan terjun ke dalam laut selepas mendengar pengumuman amaran semasa berada di atas kapal berkenaan.
Katanya, salah satu enjin kapal terhenti dan ombak besar mengakibatkan Gulf Livestock 1 terbalik lalu karam, kata Pengawal Pantai dalam satu kenyataan.
Tiada butiran lanjut berhubung bila dan di mana kapal tersebut karam tetapi lelaki itu berkata, dia belum menemui anak kapal lain semasa menunggu untuk diselamatkan.
Sebuah bot getah ditemui pada hari sama di kawasan nahas semasa operasi mencari mangsa yang terselamat, namun Pengawal Pantai belum mengesahkan ia mempunyai kaitan dengan kapal berkenaan.
Sebanyak tiga kapal Pengawal Pantai, lima kapal terbang dan sekumpulan penyelam terlatih terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat .
Kapal kargo itu membawa seramai 39 anak kapal warga Filipina, masing-masing dua kelasi New Zealand dan Australia serta 5,800 ekor lembu. – AFP