fbpx

Dua pelajar parah, seorang cedera motosikal bertembung hadapan sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua pelajar perempuan tercampak selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah motosikal lain dalam kejadian di hadapan SMK Dato Dol Said di Alor Gajah hari ini.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

ALOR GAJAH – Dua pelajar tingkatan lima parah, manakala seorang lagi cedera selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Dol Said di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 petang itu, dua pelajar iaitu Nur Adibah Salleh, 17, dan Muhammad Iman Zarif Mohamad Zulaizam, 17, turut dilaporkan mengalami kecederaan di kepala dan tidak sedarkan diri di tempat kejadian.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Nur Amanina Azman, 17, dilaporkan cedera di tangan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan melibatkan dua pelajar perempuan sekolah berkenaan manakala seorang lagi adalah pelajar Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd. Zin.

“Kemalangan berlaku apabila dua pelajar perempuan tersebut yang menaiki motosikal sama jenis EX5 cuba membelok keluar dari pintu pagar sekolah selepas tamat persekolahan.

“Muhammad Iman yang menunggang motosikalnya di laluan utama di hadapan sekolah itu bagaimanapun gagal mengelak dua pelajar berkenaan sehingga berlaku rempuhan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, akibat kemalangan itu, kesemua mangsa tercampak ke laluan bertentangan menyebabkan Nur Adibah, yang membonceng dan Muhammad Iman mengalami kecederaan parah di kepala dan tidak sedarkan diri.

“Ketiga-tiga mangsa yang lengkap beruniform sekolah telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jelasnya, kedua-dua motosikal jenis EX5 yang terlibat telah ditahan di Balai Trafik Alor Gajah untuk Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI