ASAM pedas bukanlah menu asing bagi penduduk negeri Johor dan boleh dikatakan menu wajib yang perlu ada bagi setiap rumah.
Justeru, tidak hairanlah jika di pekan Batu Pahat sahaja terdapat puluhan kedai menyajikan hidangan utama asam pedas sejak awal pagi.
Bagi pengusaha Asam Pedas Tambak di Medan Selera Jalan Rahmat, Mohd. Faiz Rahmat, 33, berkata, perniagaan itu adalah warisan keluarga.
“Bapa mertua saya, Abdul Rahman Mohd. Aris, 61, mula berniaga pada tahun 1989 di sini. Ketika itu, hanya dua atau tiga sahaja gerai yang menjual asam pedas.
“Sekitar tahun 1990-an, asam pedas tidak begitu popular jika mahu dikaitkan dengan Batu Pahat. Sekiranya ingin menikmatinya, mereka perlu ke Melaka atau ke Parit Jawa di Muar,” katanya ketika ditemui di gerainya di medan selera tersebut baru-baru ini.
Beliau berkata, resipi asam pedas diwarisi daripada moyangnya yang pernah berniaga di Singapura sewaktu ketika dahulu.
“Ayah dan arwah ibu tidak mahu resipi turun-temurun itu hilang begitu sahaja. Maka kini, saya dan isteri Rosmawati, 30, meneruskan legasi berkenaan.
“Sekarang ayah sudah berehat dan bermain dengan cucu sahaja. Biarlah kami bertungkus lumus mencari rezeki,” katanya.
Beliau berkata, lebih 100 kilogram ikan merah dan jenahak disediakan untuk jualan setiap hari dan bertambah dua kali ganda pada cuti umum.
Namun, katanya, ia bergantung kepada bekalan ikan segar berkenaan yang diperoleh dari Pasar Awam Batu Pahat.
“Jika bekalan ikan merah dan jenahak berkurangan, maka kami akan memilih dan melebihkan ikan lain yang segar seperti pari, kembung dan cencaru.
“Kami turut menjual asam pedas ikan sembilang, namun ia hanya dijual dua kali sebulan disebabkan bekalannya hanya diperoleh daripada pemancing di sungai berhampiran,” katanya.
Tambah Mohd. Faiz, dia bersyukur perniagaannya masih boleh bertahan meskipun wabak Covid-19 melanda negara pada ketika ini.
“Disebabkan Covid-19, kami perlu mematuhi prosedur operasi standard dan ruang makan terpaksa dihadkan.
“Alhamdulillah, pelanggan setia kami tetap menunggu giliran dengan penuh sabar di luar premis walaupun cuaca panas atau hujan,” katanya.
Katanya, waktu operasi gerai makannya bermula 7.30 pagi hingga 3 petang setiap hari kecuali Selasa dan cuti sempena peristiwa penting dalam kalender Hijrah.
“Mereka yang berminat untuk datang makan bersama keluarga digalakkan menempah awal di talian 017-782 3039,” katanya yang turut menyediakan khidmat katering.