Tidak dapat teruskan bidang kedoktoran bukan halangan gapai impian baharu
Susunan MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
NAMA Arslan Muhammad Siddique mungkin tidak dikenali dalam arena e-Sukan tempatan tetapi atlet dari Lahore, Pakistan itu sebenarnya sudah dianggap antara bintang dunia dalam permainan video Tekken.
Arslan, 25, terpaksa menempuh pelbagai halangan dan rintangan sejak mula melibatkan diri secara amatur 10 tahun lalu sebelum menyertai kejohanan kompetitif pada 2018 sehingga dinobatkan atlet e-Sukan terbaik dunia 2019.
Pengiktirafan itu diberikan selepas Arslan berjaya menjuarai dua pertandingan bertaraf dunia tahun lepas iaitu Kejohanan Tekken 7 EVO Jepun (Februari) dan Tekken 7 EVO Amerika Syarikat (AS) 2019 pada Ogos.
“Impian saya cuma mahu mengumpul sebanyak 100,000 rupee Pakistan (RM2,505). Kini saya sudah mencapai segala-galanya sehingga bergelar pemain No. 1 dunia,” katanya.
Bagaimanapun, ramai tidak mengetahui kesengsaraan Arslan dalam perjalanannya menyertai EVO Jepun 2019 kerana dia terpaksa mengambil masa hampir tiga hari untuk sampai ke Jepun dari Pakistan, selain berdepan masalah visa.
Walaupun Arslan sampai di venue pertandingan beberapa minit sebelum kaunter pendaftaran kejohanan ditutup, selain kesukarannya menukar mata wang yen Jepun tidak menghalangnya untuk mencipta kejutan menjuarai EVO Jepun 2019.
“Saya kehilangan pasport yang telah dicop visa AS seminggu sebelum berlepas ke EVO AS 2019. Tiga hari saya mengalami tekanan tetapi saya tidak putus harapan dan mencuba pelbagai cara walaupun terlepas tarikh penerbangan awal.
“Saya sebenarnya boleh kalah sewaktu tiba di sana kerana terlepas pusingan pertama, selain masih dalam keadaan lesu jet. Bagaimanapun, saya berusaha keras dan akhirnya berjaya memenangi EVO AS 2019,” jelasnya.
Pemain yang meraih pendapatan AS$62,518 (RM258,980) tahun lepas itu pernah memasang impian untuk menjadi doktor gigi kerana cemerlang di sekolah dan matrikulasi.
Bagaimanapun, kematian ayahnya menyebabkan Arslan memilih untuk melupakan bidang kedoktoran dan perakaunan dengan memberi tumpuan untuk memenangi kejohanan e-Sukan di peringkat antarabangsa bagi menampung keluarganya.
“Sejak ayah meninggal dunia, ibu mengalami tekanan dengan pilihan saya hingga mengatakan saya menghabiskan duit keluarga. Jadi, saya mahu membuktikan bahawa pilihan saya beralih ke bidang e-Sukan adalah satu keputusan tepat.
“Walaupun sebelum ini impian saya mahu bergelar doktor, tetapi tahu boleh mencari duit sebagai pemain permainan video kerana ini adalah kelebihan saya. Semua hutang saya selama ini akhirnya telah berjaya dilangsaikan,” katanya.
Kejohanan antarabangsa pertama disertai Arslan ialah KOF GCC 2018 di Muscat, Oman yang mempertandingkan pertandingan bergenre pertarungan seperti Tekken, King of Fighters dan Street Fighter.
Kemudian, Arslan mengambil bahagian dalam Kejohanan FV X SEA Major Malaysia 2018 di Selangor sebelum menjuarai pertandingan kompetitif antarabangsa pertama iaitu Kejohanan OUG 2018 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.
“Arena e-Sukan tidak begitu menyertah di Pakistan, jadi saya perlu berkelana ke serata dunia seperti Malaysia, Jepun, Korea Selatan, AS atau Eropah untuk mencipta nama dalam dunia permainan Tekken.
“Tanpa sokongan ibu (Khadija) yang akhirnya dapat menerima penglibatan saya dalam e-Sukan, saya tidak akan meraih segala pencapaian ini. Sekarang saya menyuruh ibu berhenti kerja kerana saya mampu menyara keluarga,” jelasnya.