fbpx

APMM patahkan cubaan seludup 537kg ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zawawi (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian ketulan mampat ganja yang ditemui terapung di perairan Langkawi pada Isnin lalu.

Oleh NUR AMALINA AZMAN

LANGKAWI – Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup 537 kilogram (kg) dadah jenis ganja dianggarkan bernilai RM1.6 juta disyaki dari Thailand ke pulau peranginan ini menerusi perairan negara dalam Op Eagle Eye pada Isnin lalu.

Sebanyak 14 bungkusan mengandungi ketulan mampat ganja itu ditemui terapung pada kedudukan 6.7 batu nautika tenggara Pulau Chorong dekat sini kira-kira pukul 9.30 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, rampasan dilakukan hasil risikan dengan kerjasama nelayan tempatan melalui program Sahabat Maritim.

Kata beliau, operasi tersebut dilakukan sepasukan penguat kuasa APMM hasil pengumpulan maklumat dan intipan tentang kegiatan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa melalui perairan negara sejak beberapa minggu lepas.

“Sejurus menerima maklumat mengenai lokasi penemuan bungkusan disyaki dadah, sebuah bot Petir APMM yang sedang melaksanakan Op Eagle Eye telah digerakkan ke lokasi kira-kira pukul 9.30 pagi.

“Kita kemudian menemui 14 bungkusan besar terdiri daripada 12 bungkusan plastik hitam dan dua bungkusan plastik putih yang telah terkoyak serta beberapa ketulan disyaki ganja dalam keadaan terapung,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di Jalan Bukit Malut di sini hari ini.

Tambahnya, modus operasi sindiket penyeludupan dadah itu adalah penyeludup yang menaiki bot dari negara jiran bertindak membuang bungkusan dadah ke dalam laut sebelum diambil oleh bot lain.

“Taktik sama dikesan digunakan penyeludup berdasarkan beberapa siri tangkapan lalu membabitkan ganja, syabu dan ketum di perairan Kedah dan Perlis bagi mengelak dikesan dan ditahan pihak berkuasa,” jelasnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI