SHAH ALAM – Projek laluan Rel Pantai Timur ( ECRL) yang dilaksanakan di negeri ini dinasihatkan agar tidak memberikan masalah kepada rakyat.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, pelaksanaan projek itu perlu mengambil kira impak sosial terhadap kawasan penempatan kampung tradisi dan Orang Asli, alam sekitar seperti hutan simpan dan kawaan tadahan air.
“Projek ECRL juga harus jauh dari bekalan sumber air mentah seperti empangan serta tidak melalui kawasan-kawasan berisiko di Permatang Kuartza (limestone ridge).
“Beta mahu agar setiap projek pembangunan di Selangor sentiasa mengambil kira masalah-masalah yang disebutkan tadi demi memastikan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan,” titah baginda menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Selangor Royal Office.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Istana Bukit Kayangan di sini semalam.
Pada pertemuan tersebut, Amirudin menyembah maklum dan memberi taklimat kepada Sultan Selangor berkenaan penetapan jajaran ECRL di negeri Selangor.
Semalam juga, Sultan Sharafuddin turut berkenan menerima menghadap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong bagi membincangkan perkara yang sama. – K! ONLINE