fbpx

Penyamun Rohingya Geng Jahan diberkas polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurulhuda (dua dari kanan) menunjukkan barang kemas hasil samun daripada kumpulan Geng Jahan yang didalangi etnik Rohingya. Foto oleh: ISKANDAR SHAH MOHAMED

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

KLANG – Diberi susu, tetapi dibalas pula dengan tuba. Itu perumpamaan kepada Geng Jahan didalangi etnik Rohingya yang melakukan samun bersenjata dan pecah rumah sejak Februari lalu di sekitar daerah ini, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

Mereka rata-rata memiliki kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan berada di negara ini sejak 30 tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, kegiatan jenayah etnik itu terbongkar menerusi penahanan awal dua suspek di sebuah hotel bajet di sekitar bandar Klang pada pukul 12.15 malam Jumaat lalu.

Katanya, soal siasat terhadap mereka kemudiannya memberkas empat lagi geng tersebut termasuk di Kuala Langat yang kesemuanya berusia 19 hingga 50 tahun termasuk merampas sebilah parang.

“Siasatan awal mendapati modus operandi mereka adalah bergerak secara berkumpulan dengan menaiki kereta Perodua Alza dengan beroperasi pada waktu malam hingga awal pagi.

“Sasaran mereka adalah pejalan kaki dengan turun mendekati mangsa dan mengacukan parang sebelum menyamun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di sini hari ini.

Beliau memberitahu, hasil siasatan turut mendapati kesemua suspek termasuk tiga wanita yang ditahan itu terbabit dalam 45 kes samun dan pecah rumah.

Ujar Nurulhuda, siasatan lanjut terhadap kesemua suspek kemudiannya membawa serbuan sebuah kedai pajak gadai di Telok Panglima Garang yang membeli kesemua hasil samun tersebut.

“Pelbagai barang kemas, jam tangan, telefon bimbit dan pelbagai mata wang asing turut dirampas yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM150,000.

“Turut ditahan adalah empat lelaki tempatan yang merupakan pekerja premis itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Kesemua suspek yang ditahan kini direman selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, pihaknya kini sedang memburu empat lagi suspek etnik Rohingnya termasuk dalang utama geng tersebut.

“Ketua kumpulan itu adalah wanita dikenali sebagai Norjahan, 30-an, selain Hussin, 35, Rafiq, 30-an dan Md. Alam, 25,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI