fbpx

Pentas pertarungan ulasan Mobile Legends

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERENCE, Leonard dan Gideon merupakan pengulas dalam bahasa Inggeris untuk Liga Profesional MPL MY/SG musim keenam yang berlangsung ketika ini.

SAINGAN Liga Profesional Mobile Legends Malaysia-Singapura (MPL MY/SG) musim keenam ketika ini dilihat sebagai pentas terbaik buat pengulas-pengulas e-Sukan mempamerkan kehebatan ulasan masing-masing.

Kepelbagaian gaya ulasan dan sentuhan ton suara menarik mampu mengikat penonton untuk kekal lebih lama me­nyaksikan penstriman langsung pertandingan yang diadakan secara online.

Permainan Mobile Legends benar-benar dapat dinikmati melalui pengulasan yang hebat seperti sewaktu saingan minggu pertama dari Jumaat sehingga Ahad lalu.

Ketua Komunikasi Persekutuan e-Sukan Malaysia (MESF), Muhammad Farouq Abdul Patah atau lebih mesra disapa sebagai Flava berkongsi pengalamannya sebagai pengulas e-Sukan pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Ada dua kategori pengulas dalam e-Sukan iaitu colour yang kebiasaannya akan memberi info tambahan sewaktu menganalisis permainan dan keduanya, play-by-play lebih kepada pandangan mengenai apa yang tengah berlaku ketika itu.

“Umumnya, pengulas perlu mempunyai pengetahuan me­ngenai permainan yang akan di­ulasnya selain ada kebolehan untuk berkomunikasi bukan sahaja bercakap seorang diri tetapi de­ngan pasangannya dan juga para penonton.

“Setiap pengulas memahami tugas masing-masing dan mereka­ perlu bekerjasama memastikan ulasan sesuatu permainan itu menjadi menarik dan teratur,” katanya.

ARTHA, Cortx dan Karakuri antara enam pengulas e-Sukan Liga Profesional MPL MY/SG dalam bahasa Malaysia.

Bagi musim keenam kali ini, penganjur MPL MY/SG telah memilih sembilan pengulas dengan enam daripadanya mengulas dalam bahasa Malaysia dan tiga pula bagi pengulasan bahasa Inggeris dan para pengulas sudah tidak asing di arena e-Sukan Asia Tenggara.

Tiga pengulas berbahasa Inggeris ialah Terence Yong atau gelaran permainannya iaitu Icybaby12, Leonard Lee (Yololee) dan Gideon Khew (Fatal5way).

Enam pengulas bahasa Malaysia pula ialah Adam Faiz (Spartanker), Radzi Rahman Ibrahim (Ikuto), Mohd. Amirul Aiman Mohd. Kamal (Laphel), Mohammad Al Hatta (Artha), Muhammad Said Faudzi (CortX) dan Mohamad Noorhafidzan (Karakuri).

Pada masa sama, Farouq juga mengakui tidak semua orang mampu menjadi seorang pe­ngulas e-Sukan yang baik kerana mempunyai cabaran tersendiri sama seperti ulasan sukan-sukan lain.

IKUTO, Laphel dan Adam perlu bercakap enam hingga tujuh jam tanpa henti berbanding sukan lain seperti bola sepak pada saingan Liga Profesional MPL MY/SG.

“Semua orang boleh bermain Mobile Legends tetapi tidak semua boleh menjadi pengulas untuk permainan ini. Anda perlu menghafal 1,000 skil permainan, beratus-ratus barang (item) dan lebih kurang 100 lebih karakter hero.

“Bukan itu sahaja, pengulas e-Sukan perlu bercakap enam hingga tujuh jam tanpa henti berbanding sukan lain seperti bola sepak yang kebiasaannya me­ngulas untuk satu perlawanan sahaja.

“Jadi, bukan mudah sebenar­nya menjadi seorang pengulas e-Sukan,” jelasnya.

Sebagai rekod, wakil Singa­pura, Evos SG berjaya mengungguli carta dengan dua kemenangan diikuti­ dua pasukan dari Malaysia, Red Reborn dan Geek Fam ­masing-masing tempat kedua serta ketiga untuk saingan minggu pertama musim keenam ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI